Home SemasaGlobal Filipina catat kematian pesakit wabak koronavirus pertama di luar China

Filipina catat kematian pesakit wabak koronavirus pertama di luar China

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Filipina hari ini mengesahkan kematian seorang pelancong China di negara itu adalah berpunca daripada jangkitan wabak novel koronavirus.

Pesakit merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun itu yang berasal dari Wuhan. Beliau dilaporkan tiba bersama seorang pelancong wanita. Pelancong wanita terbabit merupakan kes pertama jangkitan wabak 2019-nCoV di Filipina.

Jabatan Kesihatan Filipina mengesahkan lelaki terbabit dimasukkan ke hospital pada 25 Januari lalu selepas mengadu sakit tekak, demam dan batuk. Pesakit turut dikesan mengalami radang paru-paru yang teruk.

“Pesakit kemudiannya dilaporkan stabil dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Namun, beliau kembali tenat dan meninggal dunia pada 1 Februari,” kata Jabatan Kesihatan Filipina dalam satu kenyataan.

Sementara itu, media Filipina memetik kenyataan wakil Badan Kesihatan Dunia (WHO), Rabindra Abeyasinghe yang menegaskan pesakit telah dijangkiti virus itu semasa berada di Wuhan.

“Perlu diingatkan, pesakit dijangkiti virus itu semasa berada di Wuhan dan bukannya berpunca daripada jangkitan dari manusia ke manusia (human transmitted),” tegas Rabindra.

Sementara itu, China mengesahkan sebanyak 2,590 kes jangkitan baharu dilaporkan. Angka itu sekaligus menjadikan jumlah pesakit yang dijangkiti wabak 2019-nCoV diseluruh dunia seramai 14,380 orang.

Sehingga kini, dianggarkan seramai 305 orang maut  akibat wabak itu.

Related Articles

Leave a Reply