Home SemasaGlobal Serangan di Yala: Polis Thailand kenal pasti suspek serang pos keselamatan

Serangan di Yala: Polis Thailand kenal pasti suspek serang pos keselamatan

by Bernama

YALA, 8 Nov – Polis Thailand mengenal pasti suspek yang terlibat dalam serangan di dua pos kawalan keselamatan yang mengorbankan 15 orang di Yala pada Selasa lepas.

Panglima Bahagian Tentera Darat Ke-4, Pornsak Poonsawat berkata siasatan awal polis mendapati senjata yang digunakan kumpulan suspek adalah sama dengan kes rompak sebuah kedai emas di Na Thawi, Songkhla pada 24 Ogos lalu.

Selain itu, beliau berkata senjata sama juga digunakan untuk melarikan tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pattani pada 4 Ogos.

“Polis sedang mempergiatkan usaha menjejaki kumpulan anggota bersenjata itu.

“Polis percaya anggota kumpulan bersenjata itu turut cedera dalam insiden serangan Selasa lalu. Mereka mungkin bersembunyi dalam hutan berdekatan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Selasa lalu, 15 individu maut manakala empat orang lagi mengalami kecederaan dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di dua pos kawalan keselamatan di Yala.

Polis percaya mangsa diserang oleh kira-kira 20 anggota kumpulan bersenjata, pada kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan).

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tokong Wat Lampaya apabila mayat sembilan mangsa yang maut dalam serangan itu, tiba untuk upacara keagamaan selama tujuh hari sebelum dikebumikan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply