Home Semasa 10 anggota ASEAN perlu bersatu bagi elak dibuli negara maju – Tun Mahathir

10 anggota ASEAN perlu bersatu bagi elak dibuli negara maju – Tun Mahathir

by Bernama

BANGKOK, 8 Nov – Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada sesi dialog Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2019 (ABIS) Sabtu lepas, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 yang berakhir baru-baru ini di sini, beliau menyeru 10 negara anggota ASEAN supaya bercakap dalam satu suara di pentas global bagi mengelakkan dibuli, terutama oleh negara maju.

Ahli politik yang lantang bersuara itu menjadikan kedudukan ASEAN sangat jelas – ASEAN dengan 650 juta penduduknya adalah pasaran besar untuk seluruh dunia dan tidak mahu terjerumus ke dalam perang perdagangan.

“Sekiranya mereka melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita, kita perlu menjadi tidak baik kepada mereka,” kata Perdana Menteri pada sesi dialog selama 45 minit yang diadakan di Dewan Pameran 6, Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT di Muang Thong Thani, Nonthaburi.

Pendapat yang lantang dan analitikal pemimpin berusia 94 tahun itu mengenai pelbagai isu semasa sekali lagi menarik perhatian para hadirin sidang kemuncak itu.

“Saya suka perdana menteri anda”. “Beliau adalah pemimpin yang bijak dan cemerlang,” kata beberapa media tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan sesi dialog itu yang dikendalikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Arin Jira.

Sementara itu, pandangan Dr Mahathir mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China pada ABIS 2019 adalah jujur dan tidak boleh diketepikan. Walaupun tidak dinyatakan secara rasmi, ramai pemimpin ke Sidang Kemuncak itu melahirkan kebimbangan terhadap kesannya yang menjejaskan ekonomi di seluruh dunia.

“Perasaan bahawa perbalahan berpanjangan ini mengganggu pertumbuhan perdagangan dan ekonomi di rantau ini. Mereka mahukan dunia aman yang mana mereka boleh berdagang dengan semua orang. Saya harap ia dapat diselesaikan dengan satu atau cara lain,” kata Dr Mahathir sambil menambah negara perdagangan harus kembali kepada prinsip Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Pandangan Dr Mahathir itu turut dikongsi Perdana Menteri China Li Keqiang pada Sidang Kemuncak ASEAN-China yang menekankan keperluan untuk menegakkan perdagangan pelbagai hala dan bebas akibat tekanan terhadap ekonomi global dan cabaran baharu, demikian menurut laporan agensi berita dimiliki negara China, Xinhua.

Sidang kemuncak kedua dan terakhir yang dihoskan Thailand sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini juga menandakan pencapaian signifikan dengan memuktamadkan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) oleh semua negara anggota pada Isnin lepas tanpa penyertaan India, selepas tujuh tahun melalui proses rundingan.

Selepas 28 pusingan rundingan dan 18 mesyuarat menteri selama kira-kira tujuh tahun, rundingan itu berjaya dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-35. Perjanjian itu dijangka dapat dimeterai pada tahun hadapan.

Sebanyak 15 negara yang terlibat dalam RCEP – kesemua 10 negara anggota ASEAN dan lima negara bukan anggota – China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand – telah memuktamadkan rundingan berasaskan teks membabitkan kesemua 20 bahagian dan secara asasnya meliputi isu akses pasaran masing-masing dan telah mempertanggungjawabkan ini diperhalusi dari segi perundangan bagi tujuan pemeteraian pada 2020.

India membuat keputusan untuk menarik diri berikutan kebimbangan terhadap beberapa terma dalam perjanjian itu termasuk perlindungan untuk industri domestik dan kemasukan barangan import dari China dalam pasarannya.

Dengan penyertaan India, RCEP akan menjadi perjanjian perdagangan terbesar di dunia, menyumbang sejumlah US$49.5 trilion dalam gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan merangkumi separuh penduduk di seluruh dunia.

Bagaimanapun, tanpa India, seorang penganalisis percaya ia masih menjadi pakatan perdagangan terbesar di dunia pada masa kini, walaupun mengurangkan liputan dan keluasan.

“Berdasarkan angka 2018, RCEP-15 akan merangkumi kira-kira 29 peratus KDNK dunia (kira-kira 32 peratus dengan India) yang meliputi sekitar 30 peratus penduduk dunia (kira-kira 47 peratus dengan India),” kata Calvin Cheng, penyelidik ekonomi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia kepada Bernama.

RCEP dimulakan pada 2012 dengan matlamat menyediakan akses pasaran yang lebih lancar termasuk menyeragamkan tarif dalam kalangan negara anggota.

Cheng juga percaya adalah lebih baik untuk mara ke hadapan dengan memuktamadkan rundingan dan mempunyai kemungkinan bahawa India akan menyertainya kemudian daripada usaha mendapatkan kesepakatan perdagangan disekat.

“Kebanyakan isu India dalam RCEP dilihat agak struktural pada masa ini.” katanya.

Sementara itu, Pengerusi ASEAN Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata terdapat banyak matlamat yang tidak dapat dicapai sepenuhnya dalam masa setahun.

“Justeru, Thailand telah mengambil inisiatif penting daripada tahun-tahun sebelumnya yang menjadi inisiatif Filipina untuk melibatkan dunia atau insiatif Singapura untuk daya tahan dan inovasi bagi memacu agenda ASEAN untuk mencapai hasil konkrit.

“Thailand telah meletakkan asas untuk ASEAN yang mampan dalam semua dimensi. Saya yakin Vietnam akan berjaya dan mengukuhkan lagi kedudukan pengerusi ASEAN dari Thailand dan merealisasikan impian ASEAN dalam mempromosikan perkongsian, mengekalkan keamanan, kebebasan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini,” katanya pada majlis penutup.

Vietnam secara rasmi akan mengambil alih sebagai pengerusi ASEAN dari 1 Jan 2020.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply