KIEL, 19 Feb – Tentera Laut Republik Singapura (RSN) telah melancarkan kapal selam Type218SG yang pertama, Invincible, di limbungan kapal Thyssenkrupp Marine Systems Shipyard, semalam.
Majlis pelancaran kapal selam ini dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen.
“RSN memainkan peranan yang penting dalam memastikan Laluan Perhubungan Laut (Sea Lines of Communications – SLOC) sentiasa terbuka, bukan sahaja kepada Singapura tetapi kepada dunia. Keadaan semasa maritim di sekeliling Singapura turut mempunyai cabaran keselamatan yang tersendiri.
“Dalam konteks ini, perolehan kapal selam Type 218SG adalah tepat pada waktunya,” kata Ng.
Beliau menambah, rekaan kapal selam baharu ini adalah berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang diperolehi oleh Singapura semasa mengoperasikan kapal selam kelas Archer dan Challenger semenjak dua dekad lalu.
Dalam satu kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Singapura, Invincible (bermaksud tak terkalah) merupakan kapal selam pertama yang direka secara khusus untuk beroperasi di perairan Singapura. Rekaan sebegini dijangka akan mempertingkatkan tahap keberkesanan kapal selam tersebut terutamanya dari segi jangka masa operasi dan juga persenjataan.
Perolehan kapal selam kelas Invincible ini bermula dengan pembelian 2 buah kapal selam Type 218SG pada tahun 2013. Perolehan tambahan sebanyak 2 buah kapal selam lagi dibuat pada tahun 2017. RSN dijangka akan menerima kapal selam pertama pada tahun 2021 diikuti kapal selam kedua pada tahun berikutnya.
Kapal selam ketiga dan keempat pula dijadualkan akan diterima mulai tahun 2024.
Menurut Kementerian Pertahanan Singapura, pelancaran kapal selam baharu ini sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara Singapura dan Jerman dalam dunia pertahanan.
Hubungan bilateral pertahanan Singapura-Jerman diperkukuhkan lagi dengan perjanjian Enhanced Defence Cooperation Agreement (eDCA) in 2018. EDCA telah membuka peluang kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai perkara termasuk latihan kapal selam, teknologi pertahanan dan pertahanan siber.
Selain daripada itu, Singapura dan Jerman turut mempertingkatkan lagi hubungan dua hala melalui lawatan, kerjasama teknologi dan latihan.