Home PolitikPakatan Harapan Pembubaran Sementara PPBM langgar Peruntukan Undang-undang – Mahathir

Pembubaran Sementara PPBM langgar Peruntukan Undang-undang – Mahathir

by M.Daim

PETALING JAYA, 6 Apr – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan satu sidang media mengenai pengumuman ROS pembubaran sementara PPBM.

Mahathir berkata pada 29 Mac lalu, Setiausaha Agung PPBM telah menyampaikan semua dokumen dan maklumat yang diperintahkan oleh ROS melalui notis Seksyen 14(2).

Pada 30 Mac 2018, Setiausaha Agung PPBM telah bertanyakan kepada ROS jika ada apa-apa maklumat lanjut yang diperlukan. Pada 3 April 2018, ROS menjawab telah mengambil perhatian bahawa PPBM telah mematuhi semua perintah yang diberikan.

ROS tidak menyatakan jika beliau memerlukan sebarang maklumat lanjut, katanya.

Manakala pada 5 April 2018, PPBM telah memfailkan satu tindakan guaman semakan kehakiman terhadap ROS supaya ROS tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahgunakan peruntukan Akta Pertubuhan sementara perkara itu dibicarakan di mahkamah.

Pada petang 5 April, ROS telah mengumumkan pergantungan sementara parti PPBM melalui satu sidang media.

Mahathir berkata, “sidang media ROS itu amatlah mendukacitakan kerana sehingga kini kami pemegang jawatan PPBM iaitu saya sebagai Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Mohd Salleh Bajuri selaku Bendahari Agung tidak pernah disampaikan dengan apa-apa notis atau perintah sementara pembubaran oleh ROS.”

Manakala pejabat berdaftar PPBM di Damansara juga tidak menerima perintah sementara tersebut.

“Hal ini adalah bercanggah dengan keperluan Seksyen 62 Akta Pertubuhan 1966 yang memerlukan perintah seperti itu disampaikan kepada empat pemegang jawatan tersebut di alamat berdaftar PPBM.”

“Dalam pada itu, perintah ROS itu telah pun diviralkan kepada orang ramai. Ini tidak sepatutnya berlaku jika ROS bersikap professional dan telus,”

“Seharusnya ROS berhubung dengan kami secara langsung dan bukan melalui media massa,” tegas Mahathir.

“Memandangkan ROS sendiri tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 maka perintah sementara pembubaran itu belum lagi disampaikan dengan sah dan sempurna kepada kami sehingga kini dan dianggap sebagai tidak sah laku.”

Tambah Mahathir,  kenyataan ROS dalam sidang media mereka yang menyatakan PPBM tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti sebagai parti politik adalah salah di sisi undang-undang dan amat mendukacitakan.

“Halangan yang dinyatakan oleh ROS itu adalah halangan-halangan di bawah Bahagian 3 Akta Pertubuhan”.

Halangan-halangan di Bahagian 3 Akta Pertubuhan menyentuh halangan yang terpakai apabila sesebuah pertubuhan itu telah dibatalkan pendaftarannya.

 

“Pada masa ini PPBM belum dibatalkan pendaftarannya. PPBM hanya dikenakan perintah sementara pembubaran. Hal ini sepatutnya disedari oleh ROS tentang perbezaan perintah sementara pembubaran dan pembatalan pendaftaran,” jelas Mahathir.

Beliau menyifatkan tindakan ROS adalah sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan tidak sepatutnya untuk cuba mensabotaj proses demokrasi dan PRU14.

Dalam pada itu, Mahathir menyeru agar ahli-ahli PPBM untuk meneruskan perjuangan sementara menunggu proses guaman yang diputuskan oleh mahkamah. Beliau berharap supaya semakan kehakiman PPBM disegerakan agar PPBM dapat bertanding dalam PRU14.

 

‘Saya menyeru semua ahli PPBM untuk mengukuhkan semangat dan terus berjuang supaya Pakatan Harapan menang dalam PRU 14 dan membawa perubahan yang kita janjikan kepada rakyat’, ujar beliau lagi.

Related Articles

Leave a Reply