KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kemelut politik yang melanda Parti Bangsa Malaysia (PBM) terjawab, apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Datuk Larry Sng Wei Shien masih lagi Presiden parti itu.
Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad berkata, berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan sekiranya ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti sahaja.
Ujarnya, pertikaian mengenai jawatan Presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan ROS.
“Itu hal dalaman parti mereka, jika ada pertikaian mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan ROS,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau mengulas krisis dalam PBM selepas 2 individu termasuk Larry yang juga Ahli Parlimen Julau mengisytiharkan dirinya masih Presiden parti itu.
Khamis lalu Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lalu.
Larry pula mendakwa beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Beliau menegaskan masih presiden parti yang sah seperti dalam rekod ROS yang mana beliau dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.
“Bagi PRU-15 saya akan bertanding di bawah tiket PBM. Sebagai Presiden parti, saya tidak pernah meletak jawatan daripada jawatan saya atau melepaskan keahlian parti saya,
“Semua pengumuman sebelum ini yang dibuat oleh pemimpin parti hanyalah spekulasi semata-mata. Pengumuman rasmi akan dibuat oleh saya sendiri dan hanya saya akan menandatangani watikah untuk PBM pada PRU-15,” ujar Larry dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Semalam, Larry turut menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Zuraida; Haniza; Dr Daroyah Alwi; Rahimah Majid; Dr Sathiskumar Govindaraju; Muhammad Saiful Bahari Sahari; Na’im Brundage; Abdul Aziz Abdul Kadir; Zakaria Abdul Rahim; Muniraa Abu Bakar; Datuk Chua Lian Chye; Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.
Khamis lalu, Larry mengumumkan penggantungan keahlian Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.
Jelasnya, penggantungan itu berdasarkan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) yang dilakukan kerana penglibatan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya. -airtimes.my