KELANTAN, 24 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) bagi membantu mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, semalam.
TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, program di bawah naungan Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (Mk 8 Bgd) ini melibatkan seramai 8 anggota daripada Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) yang diketuai oleh Leftenan Muda Amierul Asyraf Ahmad.
Ianya melibatkan rumah yang diduduki oleh seorang ibu tunggal iaitu Sitirokeeyoh Mad Isa bersama 4 orang anaknya di Kampung Kubang Kedepel, Rantau Panjang.
“Anggota telah membantu membersihkan kawasan sekitar luar dan dalam rumah serta perabot yang terjejas akibat dilanda banjir baru-baru ini,
“Pelaksanaan PJM akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa oleh pasukan di bawah naungan Mk 8 Bgd sepanjang tempoh musim banjir yang melanda Kelantan dan juga Terengganu,
“Melalui bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan beban mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana banjir,” menurutnya. – airtimes.my