Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat RAMD buktikan keunggulan kekang kemasukan PATI di sempadan negara

RAMD buktikan keunggulan kekang kemasukan PATI di sempadan negara

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=PL1EG_VcP4E[/embedyt]

 

Berjaya menangkap 2 orang TEKONG yang menjadi dalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) merupakan kejayaan terbesar pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bertugas menjaga sempadan negara dalam Operasi Benteng (Op Benteng).

Selain itu, penangkapan 248 orang PATI sepanjang pengoperasian dilakukan juga menjadi penanda aras bahawa pelaksanaan Op Benteng bukanlah satu yang sia-sia.

Leftenan Kolonel Zam Azahari, Pegawai Memerintah kepada sebuah rejimen dari RAMD menjelaskan pasukannya turut merampas sebanyak 2,984 karton pelbagai jenis rokok yang berjumlah RM442,000 dalam operasi tersebut.

“Penugasan pasukan kami lebih kepada menangkap sebarang pendaratan PATI dan pada masa yang sama mencegah serta menghalang segala aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan tanggungjawab,

“Semasa dalam kejadian tangkapan tekong itu juga, pasukan telah berjaya merampas 2 buah kenderaan awam dan kini kenderaan tersebut didalam siasatan pihak polis,

Leftenan Kolonal Zam Azahari, Pegawai Memerintah kepada sebuah rejimen dari RAMD yang bertanggungjawab melaksanakan Operasi Benteng di sempadan negara. Foto: AirTimes/Firdaus

“Sepanjang melaksanakan operasi, kemasukan PATI wanita tidak menjadi masalah kepada pasukan kerana kami mempunyai anggota wanita yang mencukupi untuk membuat pemeriksaan dan dokumentasi mereka,” katanya kepada Air Times ketika ditemui.

Mayat wanita bersama 37 PATI

Penahanan 37 PATI bersama seorang MAYAT WANITA Indonesia ketika anggota pasukan sedang melaksanakan rondaan dan serbuan juga merupakan kejayaan yang besar bagi pasukan ini.

Pasukan telah melaksanakan intipan dan risikan selama 2 minggu dan hasilnya kami dapati trend penyeludupan ini telah berubah dari kawasan hot spot ke kawasan yang lain.

Hasil maklumat tersebut tangkapan terbesar dibuat dalam tempoh 12 jam di mana anggota mula menjejak, mengepung sehinggalah menahan kumpulan PATI tersebut.

Mayat wanita yang dijumpai bersama PATI Indonesia yang baru tiba di peraiaran negara. Foto: MK 3 Div

Bagi penemuan mayat wanita pula, ia telah berlaku di awal pagi ketika sesi tangkapan dilakukan.

“Semasa anggota sedang melakukan penjejakan, anggota telah menjumpai seorang wanita di persisir pantai dan kemudian perkara tersebut telah dimajukan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,

“Berdasarkan penemuan barang-barang yang berada di sekitar mayat tersebut serta sesi soal siasat terhadap PATI yang ditahan, ada PATI yang mengenali mayat berkenaan,

“Sekaligus mengesahkan mayat tersebut ada bersama-sama mereka semasa pendaratan,” katanya.

Penemuan 3 lokasi penyeludupan rokok

Kejayaan penemuan lokasi penyeludupan rokok tersebut adalah hasil maklumat dan risikan yang dilaksanakan beberapa minggu oleh anggota pasukan kami sendiri.

Kebanyakkan tangkapan atau kejayaan pasukan kami ini adalah hasil risikan dan pengumpulan maklumat anggota bersama agensi-agensi keselamatan yang lain.

Anggota pasukan berjaya menemui sebanyak 2,984 karton rokok seludup dalam operasi yang dijalankan di sempadan negara. Foto: RAMD

“Tiga lokasi penyimpanan rokok tersebut ditemui di kawasan yang berhampiran diantara satu sama lain. Lokasi pertama penemuan adalah di tepi lorong di dalam hutan,

“Seterusnya, berdasarkan penemuan lokasi yang pertama itu, anggota pasukan telah meneruskan pencarian di kawasan berhampiran dan menjumpai 2 lagi lokasi yang dijadikan tempat penyimpanan penyeludupan rokok tersebut,” ujarnya.

Ancaman dan cabaran

Zam turut menjelaskan anggota pasukannya kerap berhadapan dengan tekong atau ulat-ulat tekong yang sentiasa mencari peluang serta ruang untuk menganggu tugas mereka dilapangan.

Sungguhpun demikian, anggota pasukan tidak pernah mengalami kecederaan yang serius walaupun sering kali berhadapan dengan tekong yang cuba untuk melanggar dan mencederaan anggota ketika membuat rondaan di kawasan yang disyaki menjadi lokasi penemuan PATI serta tekong.

Anggota pasukan sedang melaksanakan pemeriksaan terhadap PATI yang berjaya ditahan ketika melaksanakan operasi. Foto: AirTimes/ Faizie

“Secara asasnya, saya sendiri telah memberikan arahan yang jelas kepada anggota supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan masing-masing ketika bertugas,

“Apabila PATI atau tekong cuba bertindak ganas, secara asasnya anggota akan melakukan perkara yang sama untuk mempertahankan diri mereka dan dalam masa yang sama, berusaha untuk menahan atau menangkap PATI tersebut,

“Kebanyakkan mereka yang agresif adalah tekong dan orang-orang perantaraan yang membantu tekong dalam aktiviti penyeludupan ini. PATI sememangnya tidak akan bertindak ganas, kerana mereka tidak mahir dengan keadaan sekeliling,” tambahnya.

Cogan kata diterjemahkan

Berbekalkan visi Tetap Unggul, anggota RAMD sentiasa berusaha melaksanakan tugasan dengan baik bagi memastikan pengoperasian pasukan relevan sebagai pasukan tempur infantri utama dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).

Kejayaan ini adalah hasil perancangan dan panduan dari pihak atasan yang memberikan pengarahan yang jelas agar pelaksana iaitu anggota pasukan dapat melaksanakan tugasan dilapangan dengan baik.

Sebagai Pegawai Memerintah, saya sentiasa mengingatkan kepada anggota bahawa pasukan dengan cogan kata ‘Tetap Unggul’, pasukan tidak akan pernah berhenti dalam melaksanakan tugasan kami menjaga kedaulatan negara.

“Kami bukan mencari kejayaan tetapi hanya melaksanakan amanah yang diberi dengan melakukan tugasan dengan sehabis baik,

“Perkara tersebut dapat diterjemahkan oleh pegawai dan anggota berdasarkan daripada kejayaan yang mereka perolehi,”jelasnya.

Moral anggota

Dalam mempertingkatkan kesiagaan operasi pasukan, Zam menjelaskan moral dan semangat anggota juga merupakan aspek yang penting dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Moral anggota pasukan sangat tinggi berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang diperolehi – Leftenan Kolonal Zam Azahari. Foto: AirTimes/Firdaus

“Perkara yang paling utama dalam menaikkan moral anggota adalah dengan memastikan mereka mendapat arahan yang jelas dalam melaksanakan operasi,

“Sekiranya mendapat sesuatu kejayaan, saya sebagai pihak atasan akan cuba memberikan ganjaran yang di dalam kemampuan saya untuk diberikan kepada mereka,

“Sehingga hari ini, moral anggota pasukan dilihat sangat tinggi berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang diperolehi,” katanya.

Semangat patriotik penduduk setempat

Kejayaan operasi ini tidak hanya berpandukan kekuatan sesebuah pasukan, malah penduduk setempat juga memainkan peranan yang penting dalam memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan yang melaksanakan operasi di lapangan.

Menurutnya, penduduk setempat di kawasan berkenaan dilihat sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada anggota pasukan.

Penduduk juga telah memberikan maklumat tentang kemasukan PATI dan kegiatan tekong kepada anggota pasukan.

“Mereka telah memberikan kerjasama yang baik dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi,

“Jelas penduduk tidak mahu sebarang pencerobohan berlaku di tanah air ini. Dan dengan pemikiran tersebut, sedikit sebanyak dapat membantu anggota pasukan bagi memastikan tiada kemasukan dan penyeludupan berlaku di kawasan ini,” katanya lagi.

Pengalaman Operasi

Kami sebagai pegawai dan anggota infantri memang sentiasa bertugas terutamanya dalam melakukan operasi di dalam hutan, cuma apabila terlibat dalam Op Benteng ini, ancamannya adalah nyata.

“Kami berdepan dengan ancaman, kami berdepan dengan segala situasi yang tidak dijangka dan yang lebih penting kami merasai pengalaman sebenar,

“Kami mendapatkan maklumat, intipan, kemudian kami sahkan dan kami buat tangkapan. Jadi itulah sesuatu yang amat menarik dan pengalaman yang baik kepada anggota infantri seperti kami,” tegasnya.

Tentera tetap melawan ancaman

Walau apa pun yang berlaku dan ancamannya, kami sebagai pegawai dan anggota tentera perlu bersedia untuk melawan ancaman tersebut.

Tidak kira COVID-19 ataupun apa sahaja yang melanda, kami tetap akan memastikan perancangan untuk melawan balik itu tetap berlaku demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

 

Related Articles

Leave a Reply