Home PolitikBarisan Nasional Pelantikan TPM satu amanah perlu digalas dengan ikhlas dan jujur – Ismail Sabri

Pelantikan TPM satu amanah perlu digalas dengan ikhlas dan jujur – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Jul – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan satu amanah yang perlu digalas dengan ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi serta kemakmuran negara.

Beliau berkata, lantikan ini bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah amanah dan tanggungjawab yang berat khususnya ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan ini,

“Saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah di atas pelantikan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, turut menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti.

“Terima kasih juga kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemimpim-pemimpin parti politik dan seluruh rakyat Malaysia,

“Doa saya, semoga kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dapat bersama-sama membawa Malaysia mencapai masa depan yang lebih cemerlang,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply