KUALA LUMPUR, 7 Julai – Saham Serba Dinamik Holdings Berhad terus tersenarai sebagai antara kaunter saham aktif untuk 3 hari berturut-turut pada minggu ini.
Sebanyak 2.89 bilion saham Serba Dinamik telah didagangkan untuk tempoh tersebut. Pada minggu lalu, sebanyak 4.114 bilion unit saham telah didagangkan, tertinggi semenjak 1 Jun.
Trend kenaikan harga semenjak 30 Jun lalu diteruskan dengan peningkatan harga saham untuk Isnin dan Selasa.
Serba Dinamik ditutup sedikit rendah hari ini iaitu pada paras 48 sen berbanding 51 sen semasa pasaran baru dibuka.
Namun begitu, penurunan harga Serba Dinamik didorong sentimen pasaran Bursa yang lemah akibat perkembangan semasa di tanah air serta COVID-19 telah memberikan kesan tersendiri kepada kaunter saham tempatan.
Selain daripada itu, para pelabur dilihat sedang menunggu pelantikan barisan pengarah bebas bukan eksekutif Serba Dinamik.
Hari ini, Serba Dinamik telah mengumumkan pelantikan 2 pengarah bebas bukan eksekutif yang terdiri daripada individu berprofil tinggi.
Antaranya ,bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan dan Siti Zaleha Sulaiman, pengarah bebas bukan eksekutif AIMFLEX Berhad.
Selain pelantikan bebas bukan eksekutif, Serba Dinamik turut menyatakan mereka sedang memilih juruaudit baharu bagi menggantikan KPMG. Pengganti KPMG akan diketahui pada akhir Julai ini.
Saham Serba Dinamik telah meningkat sebanyak 18 sen semenjak 30 Jun (33 sen) hingga 6 Julai (51 sen). Penurunan sebanyak 3 sen pada hari ini (48 sen) dilihat sebagai retracement (pembalikan harga) bersifat sementara yang menunjukkan para pelabur sedang menanti perkembangan positif yang berterusan dari Serba Dinamik.
Sebelum ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holdings, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah menegaskan pihaknya sentiasa melakukan yang terbaik untuk memenangi semula kepercayaan para pemegang saham dan pelabur.
Ini dapat dilihat melalui usaha Serba Dinamik yang berusaha untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Bursa termasuk pelantikan penilai firma bebas dan pelantikan juruaudit baharu. – airtimes.my