Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Dari ‘Tentera ke Takhta’: Kisah hidup Sultan Kedah dibukukan

Dari ‘Tentera ke Takhta’: Kisah hidup Sultan Kedah dibukukan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Kisah perjalanan hidup Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah termasuk pengalaman 10 tahun baginda sebagai anggota tentera sehingga ditabalkan sebagai Sultan Kedah, dibukukan dalam buku biografi bertajuk Tentera ke Takhta.

Majlis pra-pelancaran buku setebal 305 muka surat dan hasil tulisan Sultan Kedah itu sendiri telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022, hari ini.

Pelancaran buku terbabit telah disempurnakan secara dalam talian oleh Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Karya yang mengambil masa 4 tahun disiapkan itu diterbitkan oleh Pejabat Sultan Kedah dengan kerjasama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Seri Libana Sdn Bhd dan Bukhary Sdn Bhd.

Menurut Tentera Darat Malaysia (TDM), karya yang mengandungi 5 ceritera ini memaparkan perjalanan hidup baginda bermula dari detik kelahiran sehingga ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-29.

“Tuanku Sultan telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Alor Merah sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah,

“Atas dasar patriotisme yang tinggi, baginda seterusnya melanjutkan pengajian di Indian Military Academy, Dehradun, India sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), TDM pada tahun 1964,

“Baginda telah berkenan untuk berkongsi pengalaman dan kisah pahit maung kehidupan bergelar pegawai tentera sepanjang tempoh 10 tahun perkhidmatan baginda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD),” jelas TDM.

Buku tersebut diterbitkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai langkah proaktif agar ia dapat dikongsi dengan pembaca tanpa batas sempadan bahasa, bangsa dan negara.

Menurut TDM, catatan peribadi Sultan Kedah itu mampu membangkitkan semangat nasionalisme dan patriotik dalam kalangan anak muda serta boleh menjadi panduan generasi pewaris ketenteraan negara.

Hadir sama, Pengerusi RAMD, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri; Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Mejar Jeneral Abdul Aziz Samsi @ Shamsudin; Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi dan Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Majlis pelancaran rasmi karya ini akan dilaksanakan bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan akan berada di pasaran pada pertengahan Jun 2022.

Mereka yang berminat untuk memperolehinya boleh membeli di semua cawangan MPH. Naskhah ini juga boleh dibeli melalui pembelian dalam talian melalui laman sesawang rasmi MPH. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!