Home Sejarah ‘Bagi masa setengah jam atau ambil mayat saya balik’

‘Bagi masa setengah jam atau ambil mayat saya balik’

by M.Daim

“Beri saya masa setengah jam atau bawa mayat saya balik”. Itulah kata-kata rakan sepasukan kepada Pegawai Waran 1 (Bersara) Mohamad Baharom PGB ketika menggempur pengganas komunis di Sarawak. Beliau pada ketika itu berkhidmat dalam platun UCIS sebelum bertukar kor dari Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) ke Kor Risik Diraja (KRD).

Dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), elemen tinjau pada satu ketika dahulu dipelopori oleh platun Risik Gempur dan kumpulan ini menjadi mata serta telinga kepada setiap batalion infantri TDM iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD).

UCIS mula ditubuhkan pada sekitar 1970-an bagi membendung pengganas komunis dari terus bermaharajalela dengan taktik serang dan lari (hit and run). Taktik sebegini digunakan oleh pengganas komunis bagi menggelakkan tindak balas secara konvensional oleh pasukan keselamatan.

UCIS yang aktif sekitar 1970-an sehingga 1990-an telah mencapai pelbagai kejayaan dalam menggempur elemen pengganas komunis.

Penubuhan UCIS adalah berpadanan dengan senario ancaman dengan memberi tindak balas yang lebih pantas sehingga digeruni oleh pengganas komunis. Kumpulan ini bertanggungjawab untuk melaksanakan operasi tinjau atau secara amnya disebut sebagai recce.

Perkataan ‘recce’ yang diterbitkan dari istilah reconnaissance  atau recon adalah merujuk kepada aktiviti peninjauan terhadap sesuatu kawasan atau musuh. Elemen tinjau merupakan elemen penting kepada sesuatu pasukan untuk mengetahui keadaan semasa sesuatu kawasan.

Pelbagai kejayaan telah dicatatkan oleh elemen UCIS sepanjang sejarah perjuangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TDM dalam mengempur ancaman komunis.

Bagi Mohamad, pengalaman beliau bersama Platun UCIS merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Beliau dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada Disember 2004 atas keberanian beliau semasa insiden Guuleed Hotel di Somalia. Anak kelahiran Pulau Pinang ini merupakan salah seorang veteran tanah air yang mempunyai kisah perjuangannya tersendiri demi negara.

Sebelum peristiwa Guuleed Hotel, beliau telah mempunyai pengalaman tempur ketika menentang pengganas komunis yang sedang bermaharajalela di seluruh negara.

Antara pengalaman yang beliau telah lalui adalah cedera di bahagian lutut akibat tembakan semasa operasi di Sungai Siput, Perak dan operasi mengempur pengganas komunis di Sadao, Thailand. Beliau turut terkena jerangkap samar oleh komunis dan mendapat kecederaan di bahagian muka.

Pahit maung yang dilalui bukanlah penghalang kepada beliau untuk menentang elemen musuh yang cuba menggugat kedaulatan negara.

Bertempur di pagi hari raya

Tatkala umat Islam di seluruh negara sedang menyambut Hari Raya, PW1(B) Mohamad, yang pada ketika itu masih berpangkat prebet telah ditugaskan untuk melaksanakan operasi di Sarawak bagi mencari dan menggempur pengganas komunis.

Beliau bersama 4 anggota lain telah dibawa ke satu lokasi dengan menggunakan helikopter.

Ketika itu, keselamatan Sarawak telah diancam oleh kumpulan bersenjata komunis; Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) dan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang bernaung di bawah Parti Komunis Kalimantan Utara.

PGRS diketuai oleh Yang Chu Chung beroperasi di kawasan Barat Sarawak sementara PARAKU pula aktif di kawasan Timur Sarawak. PARAKU pada mulanya diketuai oleh Lam Wah Kwai sebelum digantikan oleh Bong Kee Chok. PGRS ditubuhkan pada 1964 manakala PARAKU ditubuhkan pada 1965. Kedua-dua elemen ini diasaskan oleh Bong.

Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) dan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) merupakan elemen bersenjata komunis yang pernah aktif di Sarawak pada satu ketika dahulu.

Ketika tiba di lokasi, Mohamad mendapat maklumat akan kehadiran pengganas komunis di kawasan berhampiran.

“Semasa mencari air, kami mendapat tahu pengganas komunis berada di lokasi,” kata Mohamad.

Maklumat kehadiran musuh diperkukuhkan lagi apabila anggota kumpulan beliau mengesan asap unggun api di kawasan berdekatan. Mohamad yang bertindak selaku ketua kumpulan mengarahkan anggotanya untuk melakukan kepungan terhadap kedudukan musuh.

“Saya bagi arahan untuk melakukan serangan mengikut arah mata angin; utara, selatan, timur dan barat,

“Saya pula mengambil kedudukan di arah timur,” jelasnya.

Selain memberikan arahan serangan, Mohamad turut mengingatkan para anggotanya bahawa isyarat untuk mengempur musuh bermula selepas tempoh 15 minit atau ketika kedudukan mereka telah dikesan oleh musuh.

Komunis yang leka berehat tidak menyedari kehadiran kumpulan kecil anggota tentera yang sedang mengambil kedudukan serangan dan memerhatikan gerak-geri mereka.

Antara pakaian seragam yang digunakan oleh PARAKU.

Tidak lama kemudian, bunyi tembakan senjata api memecah keheningan hutan Sarawak.

“Selepas 15 minit, saya mendengar bunyi tembakan dari arah utara dan tembak-menembak terus berlaku,

“Ketika tembak-menembak, saya perasan ada orang lalu di hadapan saya tetapi berpakaian awam,” jelas Mohamad.

Ketika operasi, beliau bersama rakannya turut menggenakan pakaian awam bagi menggabui mata musuh dari mengetahui terdapat kehadiran anggota tentera di kawasan mereka.

Tersentak dengan kehadiran pengganas komunis berpakaian awam yang cuba meloloskan diri dari kepungan, Mohamad terdengar suara rakannya untuk menembak pengganas tersebut.

“Saya tembak musuh sampai satu kelopak peluru habis,” kata Mohamad.

Selesai tembak menembak, beliau dan rakannya melakukan pengeledahan dan mendapati seorang daripada pengganas komunis telah berjaya meloloskan diri.

‘Bagi saya masa setengah jam’

Menyedari salah seorang pengganas komunis berjaya meloloskan diri dari kepungan, salah seorang anggota kumpulan memberitahu Mohamad untuk memberikannya masa untuk memburu pengganas komunis tersebut.

“Bagi aku masa setengah jam, kalau aku tak balik – ambiklah mayat aku pulang,” kata rakannya yang memulakan pemburuan.

Ketika masa menghampiri tempoh setengah jam, anggota yang memburu pengganas komunis yang melarikan diri pulang ke lokasi.

“Dalam 20 minit, kawan saya datang balik dan dia baling kepala komunis tu dekat depan saya,” kata Mohamad yang mengimbau kenangan beliau bertempur di hutan Sarawak.

Mohamad mula menyertai ATM pada 30 September 1976 dengan menjalani latihan rekrut di Pusat Latihan Darat (PULADA) di Johor sebelum diserapkan masuk ke 19 RAMD.

Pada 19 Februari 1982 beliau ditumpangkan ke Sekolah Kor Risik Angkatan Tentera (SPAT) dan bertukar dari RAMD ke KRD pada tahun 1992.

PW (I) Mohamad Hj Baharom (dua dari kanan) ketika berkhidmat satu ketika dahulu.

Related Articles

2 comments

Leave a Reply