Home Sejarah 10 Briged Para: 26 tahun Beret Merun lahir dari halilintar di Langkawi

10 Briged Para: 26 tahun Beret Merun lahir dari halilintar di Langkawi

by M.Daim

10 Oktober merupakan antara tarikh keramat dalam lipatan sejarah Tentera Darat Malaysia.

Pada tarikh ini, 10 Briged Para secara rasminya diisytiharkan mencapai tahap beroperasi (operational) dan Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susur galur sejarah pasukan ini bermula pada 5 Oktober 1979 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Penubuhan Briged ini pada ketika itu adalah untuk mengambil alih sebahagian tugas operasi dari Markas 2 Briged.

Jejak 10 Briged untuk menjadi pasukan paracut berstatus elit bermula pada tahun 1988 apabila Batalion ke-8 Rejimen Renjer Diraja (8RRD) telah menjalani latihan payung terjun. Latihan ini sekaligus mengubah peranannya sebagai infantri biasa kepada batalion payung terjun.

Pada tahun 1990, Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta 17 RAMD telah menerima kelayakan serupa yang kemudiannya menyertai pasukan aturgerak cepat bersama 8RRD.

Pada 10 Oktober 1994, Eksesais Halilintar telah dilaksanakan di Pulau Langkawi.

Eksesais ini membuka lembaran sejarah baharu pertahanan tanah air apabila ianya melibatkan penerjunan skala besar oleh anggota 10 Briged Para.

Eks Halilintar/94 ini juga melibatkan aset dan anggota dari ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Latihan ketenteraan ini menyaksikan keupayaan ATM untuk melangkau lebih jauh yang sebelum ini dibayangi imej keupayaan counter insurgency di hutan.

Dalam latihan ini juga, elemen 10 Briged telah diberikan tanggungjawab untuk melakukan penerjunan seterusnya menawan semula Lapangan Terbang Langkawi.

Selain diberikan status operational, pasukan ini turut diberikan Beret Merun yang menjadi kebanggan anggota pasukan payun terjun.

Semenjak itu, keupayaan 10 Briged Para ditambah baik sesuai dengan statusnya sebagai pasukan elit Tentera Darat Malaysia.

Pada 21 Februari 2018, 18 RAMD telah distruktur semula sebagai Batalion Infantri Para.

Panglima 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Semaon Marjuki.

Pada malam 9 Oktober lalu, malam Sambutan Hari Ulang Tahun 10 Briged (Para) Ke-26 telah diadakan di Padang Kawad 9 RAMD (Para), Kem Terendak, Melaka.

Dalam ucapannya, Panglima 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Semaon Marjuki menegaskan legasi kecemerlangan pasukan itu perlu diteruskan.

“Saya percaya, adalah menjadi harapan kita semua agar kecemerlangan pasukan ini terus ditempa sepanjang masa,

“Selain itu, setiap paratrooper berupa menterjemahkan semangat dan kebanggaan mereka kepada pasukan ini dengan menjadikan ia terus relevan, kredibel serta unggul,” katanya.

Sudah tentu, kredibiliti dan status pasukan ini dimantapkan semula dengan arahan baharu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain bahawa 10 Briged Para akan diberikan fokus untuk melaksanakan tugas-tugas khusus. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply