Home Sejarah Insiden Airstan 1995: Taliban guna MiG-21 pintas pesawat pengangkut Il-76TD

Insiden Airstan 1995: Taliban guna MiG-21 pintas pesawat pengangkut Il-76TD

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=KJ22znp0Lr4[/embedyt]

Baru-baru ini, Taliban telah mendapat perhatian umum berikutan kejayaan mereka untuk melakukan penerbangan helikopter Black Hawk semasa perarakan kemenangan mereka pada awal September.

Sudah tentu persoalan adakah Taliban mampu untuk menerbangkan aset tinggalan oleh pihak Tentera Nasional Afghanistan dan Amerika Syarikat menjadi fokus utama. Lebih-lebih lagi melihat tindakan Amerika Syarikat merosakkan aset udara yang terpaksa ditinggalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul.

Taliban berjaya menerbangkan helikopter Black Hawk selepas menguasai semula Afghanistan. Taliban sebelum ini berupaya untuk mengoperasikan jet pejuang pada era 1990-an.

Penerbangan Black Hawk pada perarakan tersebut serba sedikit menjawab persoalan kemampuan kerajaan baharu Afghanistan dalam mengoperasikan aset udara mereka.

Situasi ini bukanlah baharu kerana Taliban pernah mengoperasikan pelbagai aset udara semasa era 1990-an, mereka pernah mengoperasikan beberapa aset udara untuk mengempur seteru mereka.

Namun begitu, kejadian pada Ogos 1995 merupakan satu peristiwa menarik dalam lipatan sejarah Afghanistan dan juga dunia.

MiG-21 merupakan antara jet pejuang yang banyak dioperasikan di serata dunia. Jet pejuang ini pernah dioperasikan di Afghanistan semasa era pemerintahan Komunis sehingga awal era kebangkitan Taliban.

Afghanistan era Burhanuddin Rabbani

Pada lewat 1994, gerakan Taliban mula bangkit di Kandahar dan setahun kemudian, mereka telah berjaya menguasai majoriti kawasan di Afghanistan. Ini termasuklah di selatan Kabul.

Afghanistan pada ketika itu dipimpin oleh Presiden Burhanuddin Rabbani dan kawasan yang dikuasai oleh beliau hanya terhad di Kabul.

Ketika mempertahankan Kabul dari ditawan oleh Taliban, Burhanuddin telah memohon bantuan bekalan senjata api dan peluru dari Albania. Pada ketika itu, kedua-dua negara ini mempunyai perjanjian bekalan persenjataan di antara satu sama lain.

Walaupun ejnggan membebaskan tawanan, Taliban masih membenarkan wakil antarabangsa termasuk dari Rusia untuk bertemu dengan kumpulan anak kapal yang ditahan.

Peranan menghantar kargo ke Kabul dari Tirana pada ketika itu turut digalas oleh pesawat Ilyushin Il-76TD milik syarikat penerbangan Airstan yang berpusat di Tatarstan, Rusia. Pesawat bernombor RA-76842 itu telah disewakan kepada Rus Trans Avia Export, sebuah syarikat Rusia yang beroperasi di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Pesawat tersebut pada ketika itu dioperasikan oleh 7 anak kapal warganegara Rusia.

3 Ogos 1995

Il-76TD yang berlepas dari Tirana itu sedang membawa 1,304 kotak peluru 7.62mm. Bagi ketua penerbangan tersebut, Vladimir Sharpatov, penerbangan ke Bagram merupakan satu penerbangan rutin. Sebelum ini, mereka pernah membawa pelbagai kargo ke destinasi mereka dengan selamat dan tiada sebarang masalah.

Namun begitu, nasib tidak menyebelahi mereka pada 3 Ogos 1995.

Ketika terbang merentasi ruang udara Afghanistan, mereka telah menerima panggilan radio dari Taliban untuk mendarat di Kandahar.

Il-76TD pada ketika itu sedang melalui koridor laluan penerbangan yang dibenarkan di ruang udara Kandahar.

Tidak lama kemudian, jet pejuang MiG-21 dioperasikan oleh Taliban lengkap dengan misil udara ke udara terbang di sisi pesawat pengangkut tersebut.

Juruterbang MiG-21 Taliban yang dikenali sebagai Ghulam. Beliau dipercayai bekas juruterbang Tentera Udara Afghanistan. Foto diambil oleh wakil kerajaan Rusia semasa rundingan pembebasan tawanan di Kandahar.

Juruterbang Il-76TD diberi amaran untuk mendarat atau mereka akan ditembak jatuh.

Mahu tidak mahu, Sharpatov terpaksa akur dengan arahan tersebut demi keselamatan anak kapal dan juga pesawat.

Il-76TD tersebut terpaksa mendarat di Kandahar dan kesemua anak kapal termasuk Sharpatov menjadi tawanan kepada Taliban.

Rundingan antarabangsa

Berita rampasan Il-76TD dan penangkapan 7 anak kapal warganegara Rusia oleh Taliban mendapat perhatian antarabangsa.

Rusia telah melancarkan usaha meja rundingan untuk membebaskan kesemua tawanan tersebut walaupun operasi bekalan terbabit tidak dilaksanakan secara terus oleh Moskow. Namun begitu, usaha terbabit tidak berlaku diperingkat kerajaan persekutuan tetapi di peringkat kerajaan negeri Tatarstan.

Rombongan kerajaan Tatarstan tiba ke Kandahar pada hari kelima kejadian. Pembantu kepada Presiden Tatarstan sendiri telah melakukan penerbangan sebanyak 26 kali ke Kandahar bagi memujuk Taliban untuk membebaskan tawanan.

Il-76TD milik Airstan ketika di Lapangan Terbang Kandahar.

Tatarstan menawarkan penghantaran trak Kamaz dan alat ganti helikopter yang dioperasikan oleh Taliban. Selain daripada itu, bantuan kemanusiaan serta bayaran wang tebusan turut ditawarkan kepada Taliban sebagai pertukaran kepada pembebasan tawanan.

Wakil Menteri Luar dan Kedutaan Rusia di Pakistan turut pergi ke Kandahar sebanyak 2 kali. Diplomat Rusia memohon bantuan kepada kerajaan Arab Saudi dan Pakistan, serta Majlis Keselamatan Antarabangsa untuk campur tangan.

Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Bill Clinton serta Perdana Menteri Pakistan pada ketika itu, Benazir Bhutto turut memainkan peranan dalam melakukan rundingan.

Namun begitu, campur tangan kuasa besar termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan OIC tidak berjaya mengubah pendirian Taliban untuk terus menahan kesemua juruterbang dan anak kapal Il-76TD.

Usaha lepaskan diri

Sepanjang tempoh ditawan, kesemua anak kapal terbabit telah dikawal rapi oleh Taliban. Menyedari usaha diplomatik dan masyarakat antarabangsa gagal, para tawanan akur bahawa jalan terakhir untuk mereka keluar dari situasi ini adalah untuk merampas semula pesawat.

Malah, semasa mula-mula ditawan, bekalan bahan api minyak tersebut tidak dikeluarkan oleh Taliban.

Wajah Vladimir Sharpatov semasa menjadi tawanan. Gambar dirakam oleh wakil kerajaan Rusia ketika bertemu dengan kumpulan tawanan.

Para anak kapal berjaya meyakinkan Taliban untuk membenarkan mereka melakukan kerja-kerja rutin di pesawat. Menurut mereka, pesawat perlu dijaga rapi bagi menggelakkan  enjinnya rosak akibat suhu panas Kandahar.

Pada mulanya, Taliban hanya membenarkan sebahagian kecil anak kapal berbuat demikian. Setelah beberapa bulan, kesemua anak kapal dibenarkan untuk melakukan kerja rutin mereka di pesawat.

Mereka turut mempelawa para pengawal lapangan terbang dan juga Taliban untuk mempelajari lebih dekat tentang pesawat. Malah, anak kapal turut diberikan kebenaran untuk bergerak bebas di kawasan landasan.

16 Ogos 1995

 Pada tengah hari Jumaat, para anak kapal sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan rutin mereka. Namun, rutin kali ini adalah berbeza di mana mereka akan melakukan cubaan melepaskan diri dengan nekad.

Setelah beberapa bulan memerhati rutin para pengawal, para anak kapal mengambil kesempatan waktu solat Jumaat di mana bilangan pengawal adalah minimum – hanya 2 pengawal bersenjata mengiringi anak kapal melakukan kerja mereka.

Menyedari bilangan individu yang semakin berkurangan pada waktu tengah hari, anak kapal menjemput kedua-dua pengawal bersama seorang ketua mereka untuk memasuki bahagian kabin pesawat.

Tidak lama kemudian, dua anak kapal pesawat, Sergei Butuzov dan Viktor Ryazanov bertindak menutup pintu tanjakan kargo (cargo ramp) pesawat.

Sharpatov dan pembantu juruterbang, Gazinur Khairullin mula menghidupkan enjin pesawat dan bergerak ke kawasan landasan. Para pengawal Taliban tidak berbuat apa-apa kerana menyangka kesemua tindakan dilakukan adalah perkara biasa.

Bagi Sharpatov dan Khairullin serta anak kapal yang lain, ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk mereka keluar dari Afghanistan.

Pesawat kemudiannya berjaya berlepas dari landasan Lapangan Terbang Kandahar. Para pengawal kemudiannya mensyaki sesuatu tidak kena. Namun, mereka berjaya dipujuk dengan alasan pesawat perlu diterbangkan selepas menjalani penyelenggaraan.

Taliban tidak mampu untuk melancarkan jet pejuang mereka kerana satu-satunya juruterbang tempur mereka berada di luar Kandahar untuk bercuti.

Il-76TD terbang pada altitud rendah (sekitar 100 meter) bagi mengelakkan pergerakan mereka dikesan oleh radar Taliban.

Pengalaman kesemua anak kapal Il-76 yang terlibat dalam insiden Airstan diabadikan dalam filem Kandahar (Kandaga) yang diterbitkan pada tahun 2010.

Ketika menghampiri sempadan Iran, juruterbang berjaya mendapatkan kebenaran untuk terbang melalui ruang udara negara itu. Mereka menggunakan maklumat yang diberikan melalui beberapa siri pertemuan dengan wakil antarabangsa semasa menjadi tawanan.

Pada masa yang sama, salah seorang pengawal yang menyedari keadaan yang berlaku telah mengancam untuk melepaskan tembakan. Sharpatov melakukan manuver pada pesawat dan menyebabkan senjata terlepas dari tangan para pengawal. Anak kapal Il-76TD kemudiannya berjaya merampas senjata tersebut dan ketiga-tiga pengawal terbabit menjadi tawanan.

Pesawat kemudiannya meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Sharjah. Ketibaan pesawat Il-76TD bernombor RA-76842 disambut oleh Pute Raja Emir UAE dan wakil kedutaan Rusia.

Kisah para anak kapal pesawat ini diabadikan dalam filem berbahasa Rusia, Kandahar (Kandagar) yang diterbitkan pada tahun 2010.

Pesawat Ilyushin Il-76TD bernombor RA-76842 masih lagi beroperasi sehingga hari ini. Gambar: Wikimedia

Nasib Ilyushin Il-76TD RA-76842

Selepas syarikat Airstan ditutup, pesawat kargo Il-76 RA-76842 telah dibeli oleh Aviacon Tsitotran  bagi melakukan penerbangan kargo. Selain daripada itu, pesawat tersebut digunakan untuk misi bantuan kemanusiaan PBB dan agensi Palang Merah. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply