Tarikh 3 Oktober 1993 menyaksikan pertempuran sengit membabitkan Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD Mekanize) bertarung nyawa di Mogadishu, Somalia. Pada hari tersebut, pasukan ini menyelamatkan 75 anggota tentera elit daripada Amerika Syarikat iaitu US Rangers dan Delta Force yang terperangkap di Pasar Bakara.
Anggota pasukan US Rangers di Pasar Bakara pada ketika itu terkepung setelah 2 buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk telah ditembak jatuh oleh militia Somalia. Sejurus itu, tentera Amerika telah dikepung oleh kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Jeneral Mohamed Farrah Aidid.
Bagi Sarjan Sabri Ahmad (Bersara), peristiwa 3 Oktober 1993 itu sentiasa terpahat dalam jiwanya. Pertempuran di Mogadishu itu adalah antara pengalaman beliau sebagai anggota 19 RAMD (Mek).
Beliau turut berkongsi pengalaman pahit yang dilalui ketika kawan baiknya Koperal Mat Aznan Awang terkorban dalam pertempuran itu pada 30 tahun lalu.
Menurut beliau, ketika itu 2 kompeni telah bergerak ke New Port dengan kekuatan 113 anggota MALBATT (Malaysia Batallion) termasuk 11 orang pegawai, 34 buah kereta pengangkut anggota, Radpanzer Condor. Kenderaan tersebut terdiri dari 28 buah varian Twin General-Purpose Machine Gun (GPMG) dan 6 buah varian Oerlikon 20 milimeter telah diaturgerak ke New Port.
“Setibanya di New Port, satu taklimat diadakan mengenai misi menyelamatkan seramai 70 tentera Amerika Syarikat yang merupakan anggota pasukan elit iaitu Delta Force dan US Rangers. Dengan serta-merta gabungan antara pasukan tentera Amerika, Pakistan dan Malaysia telah dibentuk dalam operasi tersebut,
“Saya berada dalam Kompeni Alpha sebagai ketua kenderaan pengangkutan infantri APC jenis Radpanzer Condor yang di aturgerak ke kawasan pertempuran iaitu di Hotel Shahfi, Mogadishu pada jam 11.30 malam,” ujar beliau.
Katanya, kelengkapan senjata dan peralatan yang dibekalkan dalam misi tersebut tidak setanding dengan senjata dan peralatan tentera Amerika serta militia Somalia.
Tambah Sabri, platunnya telah diarahkan bergerak ke hadapan di mana kenderaan mereka yang dipandu oleh Prebet Aznan telah mendahului kumpulan konvoi.
“Apabila tiba di Check Point 207, kenderaan yang dinaiki kami telah ditembak secara mengejut dengan bertubi-tubi dan di situ bermulalah pertempuran yang sangat sengit ketika diserang hendap oleh militia Somalia,
“Pada ketika itu, saya melihat 2 buah kereta kebal tentera Pakistan yang sepatutnya memberi perlindungan kepada kami telah berpatah balik dan memberikan alasan tidak mempunyai peralatan keupayaan untuk melihat pada waktu malam,
“Ketika sedang berbalas tembakan, kenderaan perisai kami telah meletup dengan kuat akibat ditembak dengan senjata Rocket-Propelled Grenade yang dikenali sebagai RPG,” katanya.
Apabila tersedar, Sabri tergamam melihat sekujur tubuh Aznan terkulai dengan berlumuran darah manakala anggota lain turut bersamanya yang masih dalam keadaan separuh sedar.
Seterusnya, dengan pantas Sabri meminta bantuan Rear Gunner untuk membuat perhubungan melalui radio namun gagal kerana mengalami kerosakan akibat daripada tembakan.
“Selaku ketua kenderaan, saya dalam keadaan sayu berbaur dengan perasaan marah telah mengarahkan rakan yang lain supaya menarik Aznan yang ketika itu sudah lagi tidak bernyawa,
“Saya memberanikan diri dengan keluar separuh badan melalui lubang turret dan menjerit meminta bantuan serta melaungkan azan agar anggota di belakang mendengar,” kata Sabri.
Selepas beberapa minit Sabri berkata, APC Condor Rusli di belakang mula bergerak ke depan untuk menyelamatkan dan memindahkan tubuh Aznan yang berada di dalam kenderaannya sementara hujan peluru masih berterusan ke arah mereka.
“Akhirnya, anggota dalam kenderaannya berjaya diselamatkan setelah kenderaan perisai milik Rosli berada bersebelahan kami serta segera memindahkan tubuh Aznan yang terkulai bercampur darah ketika itu,
“Pada jam lebih kurang 3.45 pagi, kami masih lagi berbalas tembakan dan akhirnya pertempuran telah berhenti pada jam sekitar 5.00 pagi sejurus azan subuh sayup kedengaran di telinga,
“Setelah pertempuran berterusan hampir 6 jam itu telah berhenti, saya berundur bersama tentera Amerika yang berjaya diselamatkan melalui misi tersebut. Kami selamat tiba di lokasi pengunduran iaitu di Stadium Somalia (Mogadishu Olympic Stadium) tepat pada jam 7.00 pagi,” ujar Sabri.
Bagi beliau, pengalaman ketika melihat Allahyarham Aznan gugur di depan mata selepas terkena bedilan daripada senjata RPG sentiasa meruntun perasaannya walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu.
“Sejak dari latihan rekrut lagi kami dididik dengan semangat setia kawan, bekerjasama dalam satu pasukan dan sentiasa patuh kepada arahan yang diberikan,
“Tentera Malaysia tidak mudah mengalah dalam menyahut cabaran, semangat cinta akan tanah air dan taat setia menjadi sumpah keramat bagi setiap anggota tentera,” ungkap beliau dengan tegas.
Tambahnya lagi, mungkin pada segelintir mata masyarakat beranggapan bahawa tentera Amerika Syarikat jauh lebih baik berbanding daripada tentera Malaysia, namun peristiwa Pasar Bakara ini membuktikan bahawa tentera kita mempunyai sifat keberanian serta kemahiran tempur yang tinggi meskipun tidak mempunyai kelengkapan peralatan ketenteraan yang canggih berbanding negara Barat.
Sabri telah dilahirkan pada 11 Mac 1960 di Kampung Tandop, Baling, Kedah. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sederhana dan mempunyai 6 orang adik beradik dan beliau merupakan anak ke-5 dalam keluarganya. Sabri memiliki kelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di Sekolah Menengah Baling, Kedah pada tahun 1973 hingga 1975. – airtimes