Home SemasaCOVID-19: Tiada arahan wajibkan semua rakyat dapatkan dos penggalak – Fahmi

COVID-19: Tiada arahan wajibkan semua rakyat dapatkan dos penggalak – Fahmi

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Tiada arahan atau kewajipan untuk seluruh rakyat Malaysia mengambil suntikan dos penggalak vaksin susulan peningkatan kes COVID-19, seperti yang tular di media sosial ketika ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin COVID-19, terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.

“Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar, kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan dia agak berbeza, dan saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan),” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Xinhua yang turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama (yang juga menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif) Nur-ul Afida Kamaludin.

Turut hadir, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beliau juga akan bertemu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menyarankan beliau untuk mengadakan perjumpaan dengan ketua pengarang akhbar dan media di negara ini, dalam memperjelas isu berkaitan dos penggalak tersebut.

Pada Khamis lalu, Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, arahan pemberian dos penggalak ketiga vaksin COVID-19 terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi dalam masa terdekat adalah berikutan peningkatan kes kebelakangan ini.

Jelasnya, dos penggalak itu perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.

Kes COVID-19 dalam negara dilaporkan meningkat kepada 20,696 kes pada Minggu Epidemiologi ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember lepas berbanding 12,757 kes pada minggu sebelumnya.

KKM turut melaporkan, sebanyak 28 kes kematian dilaporkan dalam minggu tersebut.-airtimes.my

#semasa #KKM #COVID19 #airtimes #malaysia

Related Articles

Leave a Reply