KOTA BHARU, 18 Dis – Sebanyak 848 pegawai dan anggota First Responder Team’ (FRT) dan ‘Forward Medical Team’ (FMT) terlibat dalam operasi sepanjang banjir di Kelantan serta Terengganu menerusi Op Murni bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) Brig Jen Datuk Azudin Hassan berkata kesemua petugas telah ditempatkan di lokasi banjir negeri berkenaan iaitu Kelantan (Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas) dan Terengganu (Dungun, Kuala Nerus, Kuala Terenggau).
“Pasukan ini telah dilantik oleh pucuk pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengkoordinasi dan melaksanakan Op Murni untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana banjir di Kelantan dan Terengganu.
“Op Murni adalah satu operasi ketenteraan yang berkonsepkan Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (MOOTW) dengan memindahkan mangsa menggunakan aset ketenteraan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan FRT dan FMT sempena Op Murni di Markas 8 Briged Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Azudin berkata bagaimanapun pihaknya boleh mengerahkan keseluruhan anggota seramai 4,500 orang ke lokasi banjir sekiranya keadaan bencana lebih teruk seperti yang pernah berlaku pada 2014.
Mengulas lanjut mengenai kawalan sempadan ketika musim banjir, Azudin berkata setakat ini pihaknya masih menjalankan tugas kawalan seperti biasa walaupun ada pos yang dinaiki air.
“Anggota yang berada di pos dinaiki air masih dikekalkan di situ kerana mempunyai kawasan tinggi, selain menggunakan bot atau lori untuk membuat rondaan,” katanya.
Beliau berkata kegiatan penyeludupan di sempadan pada musim banjir masih lagi berlaku tetapi dalam skala kecil kerana pihaknya sentiasa bersedia dengan apa jua taktik pihak penyeludup. – Bernama
#pertahanan #banjir #Kelantan #Terengganu #airtimes