SEPANG, 18 Dis – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyaksikan persiapan terakhir penghantaran ketiga misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin menerusi Ops Ihsan di Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Seri Paduka Baginda yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa kira-kira sejam memeriksa bantuan berkenaan yang dikumpulkan di gudang penyimpanan di terminal berkenaan selain turut memeriksa bantuan yang dimasukkan ke dalam pesawat kargo sewaan khas untuk menghantar bantuan itu.
Hadir menyaksikan upacara persiapan ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang turut menyambut baik kolaborasi pelbagai agensi Kerajaan dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Palestin.
Menurut Wisma Putra, penghantaran itu melibatkan 60 tan muatan pelbagai barangan termasuk 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan, 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam dan selimut.
Wisma Putra memaklumkan, pesawat khas berkenaan dijangka berlepas melalui KLIA awal pagi esok dan akan mendarat di Lapangan Terbang Tentera Al-Arish, mesir pada hari yang sama.
Melalui penghantaran ketiga itu, Malaysia sudah menghantar barangan bantuan mencecah 100 tan, selepas penghantaran pertama dan kedua masing-masing melibatkan barangan seberat 20 tan.
“Bantuan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk disalurkan kepada penduduk Palestin di Gaza,
“Kerjasama rentas antara agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan memastikan atur gerak proses bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza lebih tersusun dan efektif di bawah seliaan kementerian itu,” tambah Wisma Putra dalam satu kenyataan. -airtimes.my
#airtimes #OpsIhsan #Malaysia #Gaza #semasa