Home Politik Dua ADUN kembali sertai jawatankuasa, perkukuh imej DAP Perak

Dua ADUN kembali sertai jawatankuasa, perkukuh imej DAP Perak

by Bernama

IPOH, 23 Nov – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang meletak jawatan dalam jawatankuasa parti peringkat negeri pada Sept lalu hari ini mengumumkan kembali ke barisan kepimpinan parti itu.

Kedua-dua mereka, Leong Cheok Keng, ADUN Malim Nawar dan Leow Thye Yih, ADUN Pokok Asam mengumumkan kembali ke barisan Jawatankuasa DAP Perak menerusi satu kenyataan bersama di sini.

Leong, Timbalan Bendahari DAP Perak, manakala Leow Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak berkata keputusan itu diambil selepas menerima nasihat daripada Exco Paul Yong Choo Kiong yang kini menghadapi perbicaraan merogol pembantu rumahnya.

“Setelah berkali-kali menerima nasihat dan jemputan daripada Yong merangkap AJK DAP Perak untuk kembali bersama ke barisan Jawatankuasa DAP Perak, kami dapat merasai keihklasan beliau dan sudi menerima jemputannya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Leong dan Leow berkata kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai baru-baru ini merupakan satu ‘wake up call’ untuk memperkukuhkan kedudukan dan imej DAP Perak.

“Sebagai sebahagian daripada PH, kami percaya sekiranya kami bersatu, kami mampu memperkukuhkan kestabilan kerajaan PH Perak, di samping memberi sumbangan kepada negara dengan dasar kerajaan yang baik serta memberi harapan dan masa depan terbaik kepada rakyat,” kata Leong dan Leow. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply