BINTULU, 23 Nov – Ekoran tiada sebarang laporan atau maklumat mengenai kehilangan bot atau nelayan berikutan penemuan sebuah bot dalam keadaan terbalik di perairan Bintulu Khamis lepas operasi mencari dan menyelamat oleh (SAR) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak dihentikan hari ini.
Operasi SAR ditamatkan 9.30 pagi ini setelah empat hari diaktifkan berikutan ketiadaan sebarang petunjuk mengenai mangsa bot itu, menurut Maritim Sarawak dalam satu kenyataan.
Operasi itu diaktifkan Khamis lepas setelah bot fiber tanpa nombor dan berwarna oren itu ditemui 40 batu nautika dari Bintulu pada pukul 9.35 pagi manakala pencarian di lokasi bot tidak menemui sebarang mangsa.
Menurut kenyataan itu lagi, selain itu pasukan penyelam tidak dapat dihantar disebabkan kedalaman terkini dilokasi bot itu mencecah 30 meter dan keadaan arus pula sangat kuat di lokasi. – Bernama