KUALA LUMPUR, 12 FEB – Parti Tindakan Demokratik (DAP) semakin lantang menyatakan hasratnya untuk menjadi parti pilihan utama rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negara.
Ketua Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, parti itu bertekad untuk memperluaskan pengaruhnya dan menjadi lebih inklusif dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
“Sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, saya berkesempatan menjamu selera dengan sahabat lama saya, Setiausaha Agung DAP, sdr Anthony Loke.
“Pertemuan ini berjaya mencapai kata sepakat di mana kami akan berganding bahu membina DAP sebagai sebuah parti yang kukuh, stabil, cekap, bersih serta menjana sinar harapan baru buat seluruh rakyat Malaysia
“Kami juga berazam menjadikan DAP pilihan popular masyarakat berbilang kaum Malaysia,” katanya pada Rabu
Dalam masa yang sama, Nga menyatakan komitmen DAP untuk terus membantu kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.
“Kami bersetuju akan cekal terus membantu kerajaan PERPADUAN merealisasikan aspirasi Malaysia Madani dibawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Era keemasan kebangkitan Malaysia telah tiba dan misi negara memerlukan usaha keringat setiap kita (rakyat),” tambahnya lagi.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Untuk rekod, Anthony Loke bukan sahaja merupakan Setiausaha Agung DAP, namun juga Menteri Pengangkutan. Manakala Nga Kor Ming kini menyandang jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. -airtimes.my
#NgaKorMing #AnthonyLoke #Politik #Airtimes #AnwarIbrahim #Malaysia