Home PolitikPakatan Harapan Anthony Loke kini Setiausaha Agung DAP baharu

Anthony Loke kini Setiausaha Agung DAP baharu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dipilih sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu bagi penggal 2022-2025 bagi menggantikan Lim Guan Eng yang dipilih sebagai Pengerusi Kebangsaan dalam pemilihan sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-17 pada Ahad.

Pemilihan tersebut juga memperlihatkan bekas Setiausaha Agung, Lim Guan Eng menjadi Pengerusi Kebangsaan menggantikan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Bekas menteri pengangkutan itu terdahulu dipilih menggangotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selepas meraih 1,625 undi manakala Guan Eng memperoleh 1,311 undi.

Keputusan itu diumumkan Speaker Kongres Kebangsaan DAP ke-17, Chiew Chiu Sing, pada sidang media di akhir persidangan itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang mengetuai senarai terpilih dalam CEC mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.

Anthony akan dibantu oleh tiga timbalan yang mana 2 daripadanya dilantik ke dalam CEC, mereka adalah Liew Chin Tong, Sivakumar Varatharaju Naidu (dilantik), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (dilantik).

Seramai 2,179 perwakilan menghadiri kongres sehari secara fizikal di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam itu dan bertanggungjawab mengundi 30 anggota CEC untuk penggal 2022-2025.

Terdahulu, veteran DAP Lim Kit Siang, 81, menarik diri daripada bertanding pada pemilihan parti kali ini selepas mengumumkan persaraan daripada politik selepas 56 tahun.

Beliau juga mengesahkan tidak akan bertanding bagi jawatan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan di kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply