BALING, 21 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Eksesais Pasak Bumi bagi menguji ketahanan anggota berjalan lasak merentasi pelbagai bentuk muka bumi sejauh 25 kilometer (km) di kawasan Lata Bukit Hijau, pada 13 hingga 19 Mac lalu.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Mk 2 Div) dalam hantaran di media sosialnya berkata, eksesais ini melibatkan 120 anggota dari Pasukan Rejimen Semboyan Divisyen Kedua Infantri (2 RSD) termasuk anggota tumpangan dan naungan dibawah Mk 2 Div.
“Pasukan bawah naungan iaitu 2 Batalion Ubat, 2 Rejimen Kor Polis Tentera Darat (KPTD) dan Markas Staf Stesen Pulau Pinang (MSSPP) turut terlibat dalam latihan ini,” katanya.
Menurut Mk 2 Div, eksesais ini juga menerapkan semangat berpasukan dan kredibiliti kepimpinan di samping menguji tahap kefahaman menggunakan kompas serta peta.
Majlis penutup eksesais ini telah disempurnakan oleh Ketua Staf Mk 2 Div, Kolonel Samad Igom.
Samad dalam ucapannya berkata, objektif latihan ini tercapai dengan peningkatan daya kawalan yang mencabar diperingkat seksyen, platun dan kompeni.
Katanya, kemahiran pandu arah, displin medan, Ilmu Medan Perang (IMP) serta taktik dalam senario peperangan melawan insurgensi (PMI) semasa latihan ini mampu menjadikan anggota yang lebih baik. – airtimes.my