KUALA LUMPUR, 6 Jun – “Yang tekan Perdana Menteri untuk bubarkan Parlimen ialah pemimpin UMNO, yang disalahkan pula ialah DAP!”, jelas Anthony Loke.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP, menyatakan rasa hairan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyasarkan DAP berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tegasnya, desakan mengenai pembubaran Parlimen sebenarnya datang daripada pemimpin UMNO, namun yang dipersalahkan adalah DAP.
“Ini pun salah DAP?,
“Saya tak pernah mempertikaikan bahawa kuasa untuk memperkenankan pembubaran Parlimen ialah Yang Di-Pertuan Agong. Ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Ismail Sabri yang mendakwa DAP tidak menghormati Agong.
Ismail Sabri sebelum ini berkata walaupun dia boleh menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, kuasa akhirnya terletak pada Agong.
Menurut Loke, DAP tidak pernah mempertikaikan kuasa Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Yang saya kritik Perdana Menteri ialah kerana beliau (Ismail Sabri) memberikan kenyataan dan mesej yang tidak konsisten,
“Saya tak pernah kata bahawa Perdana Menteri mesti sebut bila tarikh pembubaran (Parlimen),” ujarnya.
Beliau berpendapat, kemungkinan kenyataan Ismail Sabri itu ditujukan kepada pemimpin UMNO mengesanya untuk membubarkan Parlimen.
“Saya rasa kenyataan Perdana Menteri hari ini (semalam) sebenarnya dituju kepada pemimpin Umno yang tekan dia untuk bubar parlimen,
“Cuma dia tak boleh sebut orang UMNO tak hormat Agong jadi DAP menjadi mangsa kepada pertelingkahan dalaman UMNO,” tegasnya. -airtimes.my