Home Pertahanan dan Keselamatan LIMA 2023 rasmi, bakal berlangsung di Langkawi akhir Mei ini

LIMA 2023 rasmi, bakal berlangsung di Langkawi akhir Mei ini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) akan kembali berlangsung di Langkawi.

Pameran dwitahunan itu akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023.

Majlis Pelancaran LIMA 2023 telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Pengerusi Alpine Integrated Solution, Tan Sri Mohd Khairul Adib di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Menteri Pertahanan dalam ucapan perasmiannya berkata, edisi LIMA pada tahun ini adalah satu acara yang dinanti-nantikan selepas tidak dianjurkan dalam tempoh 4 tahun kerana pandemik COVID-19.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Pengerusi Alpine Integrated Solution, Tan Sri Mohd Khairul Adib hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran LIMA 2023. Foto: Air Times/Azaman

“Dengan adanya LIMA 2023, kita memberikan mesej yang penting kepada dunia bahawa Malaysia telah kembali kepada keadaan normal dan kembali untuk berurus niaga,

“LIMA tahun ini dijangka akan menjadi edisi terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan penglibatan 600 pempamer dari 30 buah negara,” katanya.

Menurut beliau, 360 pempamer yang hadir adalah dari sektor industri pertahanan.

Tambah Tok Mat, LIMA bukan sekadar pameran kerana ia akan merangkumi beberapa persidangan dan seminar yang diadakan semasa acara berlangsung.

“LIMA 2023 dijangka mnejadi pameran terbesar dalam sejarah penganjurannya” – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan. Foto: Air Times/Azaman

“LIMA akan menerima lebih 400 orang kenamaan termasuk Menteri Pertahanan, Menteri Pengangkutan, Pegawai Kerajaan dan ketua perkhidmatan tentera dari 59 buah negara,” ujar beliau.

Jelasnya, LIMA merupakan pameran pertahanan yang menggabungkan sektor maritim dan aeroangkasa dibawah satu bumbung.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan menyatakan penglibatan sektor komersil dalam LIMA semenjak 2019 telah memberikan impak positif kepada pameran itu.

“Penglibatan pempamer dan juga kehadiran pelawat dagangan dari sektor komersil telah memberikan lonjakan kepada faktor penarik serta nilai kepada LIMA,

“Ini sekaligus menjadikan pameran ini sebagai titik pertemuan penting untuk perdagangan sektor aeroangkasa dan maritim di rantau ini,” kata Anthony Loke dalam ucapan beliau.

Menurutnya, sektor komersil akan meliputi 40% peratus daripada pameran ini.

“Penglibatan sektor komersil memberikan faktor lonjakan dan penarik untuk pameran LIMA” – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto: Air Times/Azaman

“Penambahan ini menyaksikan peningkatan dari 160 pempamer komersil LIMA 2019 kepada 240 pempamer pada edisi kali ini,” kata Menteri Pengangkutan.

Sementara itu, Pengerusi Alpine Integrated Solution menyatakan LIMA’23 akan memperkenalkan komponen baharu pameran.

“LIMA 2023 akan melibatkan keselamatan siber, dron dan teknologi angkasa lepas,” kata Mohd Adib.

Beliau menambah, selain mempunyai zon pameran khusus, terdapat acara lain diadakan iaitu forum, ceramah teknikal, forum dan demonstrasi.

“Ini bagi memastikan LIMA sentiasa mengikuti trend dan perkembangan dalam industri. Oleh itu, ia menjadi tempat untuk pengetahuan baharu teknologi dan industri,” ujar beliau.

LIMA 2023 pada tahun ini membawa tema The Nexus of Asia’s Maritime and Aerospace Trade (Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia). Kali terakhir pameran ini dianjurkan adalah pada tahun 2019.

“LIMA 2023 akan melibatkan komponen keselamatan siber, dron dan teknologi angkasa lepas” – Pengerusi Pengerusi Alpine Integrated Solution, Tan Sri Mohd Khairul Adib. Foto: Air Times/Azaman

Pameran dwitahunan ini akan melibatkan pempamer dari industri pertahanan dan komersil dari dalam dan luar negara.

Selain itu, dijangka 20 pavilion negara akan dibentuk pada edisi kali ini. Antaranya China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Belanda, Pakistan, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Turkiye United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply