Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Isu status 4 Ahli Parlimen BERSATU dibawa ke mahkamah – Muhyiddin Yassin

Isu status 4 Ahli Parlimen BERSATU dibawa ke mahkamah – Muhyiddin Yassin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan merujuk status 4 Ahli Parlimennya di Sabah ke mahkamah kerana berpendapat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, terkhilaf dalam memutuskan Ahli Dewan Rakyat berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu perlu agar keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara dan percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal berkenaan memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan (PH) adalah pihak yang berkepentingan.

“BERSATU telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 16 Januari 2023 berhubung notis kekosongan kerusi 4 Ahli Dewan Rakyat di negeri Sabah yang telah gugur keahlian mereka dalam BERSATU,

“Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan 4 Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),

“Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan BERSATU dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, alasan yang diberikan ialah 4 Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober 2022 dan keahlian mereka dalam BERSATU tergugur sebelum bertanding PRU-15.

“Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain,

“Fasal ini tidak terpakai kepada 4 Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli BERSATU dan BERSATU adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu,

“Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, selain itu surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan 4 Ahli Dewan Rakyat tersebut adalah calon GRS dari parti BERSATU.

“Ini bermakna, penyertaan mereka sebagai ahli langsung GRS tidak menjejaskan keahlian mereka dalam BERSATU ketika mereka bertanding dalam PRU-15 yang lalu,

“Surat tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membantu beliau membuat keputusan,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusannya berdasarkan tafsiran beliau mengenai Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

“Oleh kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan BERSATU, keputusannya bahawa 4 Ahli Dewan Rakyat berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi mereka adalah terkhilaf,

“Fakta juga jelas menunjukkan bahawa mantan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember 2022,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, tindakan menyeberang lantai (crossing the floor) 4 Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Disember 2022 yang mengakibatkan keguguran keahlian mereka selepas PRU-15.

“Adalah jelas Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat tafsiran khilaf berkenaan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan,

“Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka BERSATU akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply