Home Pertahanan dan Keselamatan Teroka teknologi satelit untuk pertahanan negara

Teroka teknologi satelit untuk pertahanan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Sistem persenjataan negara yang berteraskan teknologi satelit perlu diterokai oleh pengeluar industri tempatan pada masa hadapan.

Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin berkata, selain itu, sistem pertahanan termasuk aset persenjataan milik negara perlu dibangunkan secara selamat dengan menepati keadaan semasa.

“Kalau kita melihat dalam perspektif analisis pertahanan dunia, berlakunya peningkatan keupayaan persenjataan. Sejauh mana ia dilaksanakan, kita sendiri tidak arif, memandangkan semua pihak bercerita mengenai sejagat yang aman,

“Tetapi ia sudah tentu diperhatikan oleh badan-badan dunia yang lain. Jadi kita sebagai sebuah negara yang maju termasuklah dalam teknologi angkasa lepas, apa yang penting kita pastikan adalah menggunakan teknologi satelit yang selamat,

“Apabila kita menggunakan satelit, kita kena pastikan maklumat yang disalurkan dan diterima dalam keadaan selamat serta sistem keselamatan yang terjamin,

“Untuk itu, kita mahu teknologi yang digunakan itu bergantung kepada teknologi dan kepakaran buatan sendiri serta bukan yang dibeli dari negara asing,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Penting untuk menggunakan teknologi satelit yang selamat, termasuklah dalam tindakan penyaluran maklumat dan sistem keselamatan – Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai langkah kuasa besar dunia khususnya China yang dijangkakan akan memajukan teknologi persenjataan mereka dengan menggunakan satelit.

Terdahulu, Shamsuddin hadir pada program ‘Satellite Awareness Day’ yang diadakan di Kompleks Haigate ATM.

Turut hadir, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MYSA), Adnan Ismail.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, dalam usaha untuk bergerak ke arah itu, ATM akan memberi input kepada MYSA untuk diberi perhatian dalam Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN 2030).

“ATM akan menyokong usaha MYSA dalam memperkenalkan teknologi berasaskan satelit yang baharu dalam sistem pertahanan negara, malah kita yakin, agensi itu juga sudah bergerak ke arah itu,

“Kita sendiri mempunyai wakil dalam agensi itu dan akan memberi input ATM untuk diberi perhatian dan dibawa ke dalam dasar, polisi dan doktrin ke arah misi tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Arman Rumaizi dalam ucapan pembukaan berkata, hasrat ATM dalam penganjuran Hari Satelit adalah untuk mewujudkan platform bagi komuniti pakar satelit yang lebih kukuh selain menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan pihak berkepentingan industri satelit, yang membabitkan kumpulan kerajaan, swasta, pemain industri dan pakar akademik.

Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, perspektif baharu yang muncul menerusi program ini akan memberi kepentingan bukan sahaja dari segi kesedaran malah secara holistik serta input global dalam dunia satelit.

“Dengan menggerakkan sinergi ini, kita mahu berkongsi idea-idea baharu, fokus kajian dan kemajuan teknologi serta menangani isu berkaitan keselamatan satelit, yang boleh digunakan untuk kedaulatan negara.

“Kita yakin, perspektif baharu yang muncul menerusi program ini akan memberi kepentingan bukan sahaja dari segi kesedaran malah secara holistik serta input global dalam dunia satelit,” jelasnya.

Program yang bertemakan ‘Satellite Communication for Strategic Extension” ini diadakan selama 2 hari pada 17 dan 18 Januari 2023 dan ianya merupakan anjuran bersama Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM dengan Bahagian Industri Pertahanan (BIP) Kementerian Pertahanan serta Syarikat Airbus Defence and Space yang bertujuan untuk mendedahkan peringkat pengurusan dan profesional dengan teknologi.

Terdapat pelbagai aktiviti diadakan seperti perbincangan ilmiah dalam bentuk forum oleh panel jemputan serta pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan industri tempatan.

Program Satellite Awareness Day 2023 ini melibatkan penyertaan sebanyak 23 agensiagensi kerajaan dan syarikat untuk bersama mengambil bahagian di samping 15 universiti tempatan, sekolah termasuk warga ATM.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply