Home Semasa Kesatuan Pekerja KTMB mahu Anthony Loke kembali dilantik sebagai Menteri Pengangkutan

Kesatuan Pekerja KTMB mahu Anthony Loke kembali dilantik sebagai Menteri Pengangkutan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, permintaan itu dilakukan berikutan rekod baik yang ditunjukkan Anthony ketika beliau menjawat jawatan itu antara 21 Mei 2018 hingga 24 Februari lalu.

Jelasnya, pihaknya percaya dengan lantikan Loke, pengangkutan awam khususnya akan menerima limpah kebaikan terutama membantu bagi peningkatan taraf yang lebih efisien.

“Pihak kesatuan turut percaya, sekiranya pelantikan Menteri Pengangkutan Malaysia ini dibuat kepada Anthony Loke, maka, pengangkutan awam, khususnya akan menerima limpah kebaikan, yang terutamanya membantu bagi peningkatan taraf pengangkutan awam yang lebih efisien,

“Berbanding apa yang berlaku ketika hari ini yang mana telah menimbulkan banyak rungutan terhadap pengguna, iaitu rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk perkhidmatan KTMB malah juga kepada semua pengangkutan awam lain, sama ada di bawah Prasarana atau pengangkutan awam lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kesatuan itu menaruh harapan agar pertimbangan itu dapat dilaksanakan demi kebaikan seluruh pengangkutan awam, khususnya Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghadapi delima dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

“Kami yakin beliau ialah seorang yang amat prihatin kepada pekerja dan KTMB itu sendiri, ini secara mutlaknya akan memberi kebaikan dan manfaat, khususnya terhadap pekerja-pekerja KTMB dan KTMB itu sendiri,” ujarnya lagi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply