Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen serbu kawasan perindustrian, 198 PATI diberkas

Imigresen serbu kawasan perindustrian, 198 PATI diberkas

by Nurulhuda

KUANTAN, 25 Nov – Seramai 198 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi (Op) Sapu yang dijalankan di kawasan Perindustrian Gebeng, awal pagi semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, PATI yang ditahan terdiri 127 lelaki termasuk seorang bayi warga Myanmar, 37 wanita Myanmar dan 21 lelaki serta 8 wanita warga China.

Menurutnya, turut ditahan 2 lelaki Bangladesh, dua lelaki Pakistan dan seorang warga India dalam serbuan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah serta tinggal lebih masa,

“Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Muhammad Hatta berkata, hasil siasatan awal mendapati penempatan itu dijadikan tempat tinggal bagi pendatang asing yang disyaki bekerja di kilang berhampiran.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan majikan yang bertanggungjawab melindungi mereka dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, sepanjang tahun 2022, Jabatan Imigresen Pahang telah menahan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap 73 individu kerana melindungi PATI.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melindungi PATI dan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mempunyai maklumat berhubung perkara itu,” tegasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply