KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Usaha mencegah jenayah melibatkan aset rel negara digandakan apabila 20 unit motosikal Wmoto Hawk 200i (scrambler) diterima Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Jentera itu diserahkan Perbadanan Aset Keretapi (Railway Assets Corporation – RAC).
Semua motosikal berkenaan akan digunakan oleh Unit Ronda Cegah Jenayah, Jabatan Polis Bantuan KTMB.
Ia akan ditempatkan di lokasi strategik serta kawasan berisiko tinggi di sepanjang rangkaian landasan kereta api.

Inisiatif itu bertujuan mempertingkat rondaan, mempercepatkan tindak balas terhadap insiden serta membanteras pencerobohan dan jenayah melibatkan aset rel.
Langkah tersebut juga dijangka membantu mengurangkan kes kecurian kabel di sepanjang 1,655 kilometer rangkaian kereta api di seluruh negara.
Usaha itu sekali gus menjamin keselamatan aset, kelancaran operasi tren dan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada pengguna.
Kerjasama erat antara RAC dan KTMB turut mencerminkan komitmen berterusan dalam melindungi infrastruktur rel negara.
Motosikal Wmoto Hawk 200i merupakan model scrambler yang direka untuk kegunaan lasak serta mampu bergerak di pelbagai permukaan jalan termasuk laluan berbatu, tanah dan kawasan tidak berturap.
Model ini dikuasakan enjin satu silinder empat lejang 200cc yang menawarkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan bahan api dan kos penyelenggaraan.

Reka bentuk suspensi yang tinggi serta tayar dwi-kegunaan membolehkan motosikal itu melalui laluan sempit dan mencabar berhampiran landasan kereta api dengan lebih mudah.
Kedudukan tunggangan yang tegak turut memberikan keselesaan kepada anggota ketika melakukan rondaan dalam tempoh yang panjang.
Penggunaan motosikal tersebut dijangka meningkatkan keupayaan pasukan Polis Bantuan KTMB bertindak pantas terhadap sebarang ancaman, sekali gus memperkukuh keselamatan operasi perkhidmatan kereta api negara.
Terdahulu, penyerahan motosikal itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Hasbi Habibollah dalam satu majlis yang berlangsung di Menara RAC, Kuala Lumpur. -airtimes.my

