Home Semasa Projek Landasan Berkembar Komuter KTMB dikaji semula

Projek Landasan Berkembar Komuter KTMB dikaji semula

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Kerajaan akan mengkaji semula fasa kedua Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berikutan kos penambahbaikannya yang tinggi sekitar RM5.9 bilion, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Selain itu kata beliau pelaksanaannya juga mengambil masa yang lama iaitu  tujuh tahun.

“Memang kerajaan baharu  tidak setuju dengan kos tersebut. Kita akan bawa balik ke kabinet untuk dikaji semula dan projek  itu dianggarkan mengambil masa tujuh tahun.

“Ini sesuatu yang Kementerian Pengangkutan tidak akan bersetuju. Kita tidak boleh ambil masa tujuh tahun dan pengguna komuter terpaksa menghadapi kelewatan ini sekiranya projek ini dimulakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat selama 90 minit oleh pengurusan KTMB, di sini hari ini.

Menurutnya bersandarkan kos itu,  keseluruhan  fasa kedua projek melibatkan jarak 110 kilometer dari Kuala Lumpur ke Klang, Salak Selatan ke Seremban dan Simpang Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Klang menelan belanja kira-kira RM53 juta untuk setiap kilometer

Sehubungan itu katanya kerajaan akan mengkaji semula projek dari segi kaedah mengurangkan kos dan tempoh pelaksanaan.

Sementara itu Loke berkata fasa pertama projek KVDT yang dijadualkan siap pada Ogos tahun depan kini berdepan kelewatan dua bulan berbanding tarikh sepatutnya.

Fasa pertama projek itu meliputi kerja membaik pulih landasan dengan jarak kira-kira 40km dari Rawang ke Salak Selatan dan Sentul ke Simpang Batu dengan kos keseluruhan RM1.4 bilion.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf landasan berkembar itu menyebabkan tren komuter lewat tiba apabila satu landasan perlu ditutup dan tiada landasan berkembar di sepanjang laluan berkenaan.

“Ini menyebabkan perkhidmatan tren terjejas. Sebelum ini semasa waktu puncak setiap tren komuter datang dalam kekerapan 15 minit dan bukan waktu puncak ialah 30 minit. Tetapi projek naik taraf ini menyebabkan jadual ditukar, sekarang ini waktu puncak  30 minit dan bukan waktu puncak  60 minit untuk setiap tren.

“Setakat ini kita cuba perbetulkan keadaan, cuba mempercepatkan tetapi oleh kerana  landasan ditutup,  kita terpaksa hadapi kelewatan,” jelasnya.

Related Articles

Leave a Reply