Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS tak akan sertai kerajaan diterajui PH dan DAP – Takiyuddin

PAS tak akan sertai kerajaan diterajui PH dan DAP – Takiyuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – PAS menyatakan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya pengundi yang telah memilih PAS serta Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Setelah membuat pertimbangan dari pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, PAS berpendirian tidak akan menyertai kerajaan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan DAP,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Justeru, Takiyuddin menjelaskan, PAS akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif.

“PAS akan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip prihatin, bersih serta stabil,” ujarnya lagi.

Semalam, Takiyuddin dalam kenyataan memaklumkan, parti itu akan membincangkan tawaran Anwar Ibrahim untuk sama-sama menyertai kerajaan perpaduan yang diterajuinya.

Jelasnya, selain berbincang dengan rakan komponen dalam PN, PAS juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang memberikan undi memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU15.

Pada Khamis lalu, Anwar dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri mengajak PN mendukung Kerajaan Perpaduan yang baharu ditubuhkannya.

Beliau berkata, saranan itu dibuat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kukuh dapat mentadbir Malaysia. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply