KOTA BHARU, 1 Nov – Seramai 455 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk balu dan wakil waris, dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai penghargaan atas keberanian, pengorbanan, dan kesetiaan mereka dalam mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman di Grand Ball Room, The Grand Renai Hotel, hari ini.
Menurut Markas ATM, penganugerahan ini merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan warga ATM dalam melaksanakan kewajipan kepada Negara.
“Sesuai dengan tarafnya sebagai ‘Campaign Medal’ yang berlandaskan pengorbanan dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi semasa darurat dahulu,
“PJM telah dimartabatkan sebagai pingat terkanan dalam susunannya berbanding anugerah yang sama kelas dengannya seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS),” jelas Markas ATM.
Panglima Angkatan Tentera turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima PJM pada hari ini.
Jelasnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal veteran ATM.
Malah, aspek kesejahteraan veteran ATM telah menjadi salah satu teras utama dalam pelan strategik kementerian ini.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, yang terus komited dalam memperkasa kebajikan Veteran ATM menerusi skim-skim bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan, dan perumahan.
Menurut Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki, jabatan itu akan terus mencari pendekatan terbaik untuk meningkatkan taraf hidup para veteran ATM khususnya dalam situasi ekonomi semasa.
PJM hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti berkhidmat atau terbabit dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM).
Antara syarat lain, veteran berkenaan berkhidmat atau terbabit dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).
Selain itu, veteran itu juga terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan tugas menentang pengganas PKM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas PKKU bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Baharudin Wan Md Nor.-airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #PingatJasaMalaysia #PJM #airtimes #Malaysia


