SUBANG, 8 Nov – Seramai 6 orang pegawai dan 200 anggota kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 telah selamat tiba di tanah air selepas setahun berkhidmat dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan.
Kumpulan pertama yang diketuai Komander Errudin Bujang TLDM ini telah mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 10.10 pagi tadi.
Ketibaan kumpulan pertama MALBATT 850-11 ini telah disambut oleh Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong TUDM.
Asisten Ketua Staf J3 dalam ucapannya meluahkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada wira dan wirawati negara yang telah melakasanakan misi UNIFIL di Lubnan setahun yang lalu.
“Selamat kembali ke Malaysia, tahniah dan syabas kerana telah berjaya melaksanakan misi UNIFIL di bawah Panji-Panji PBB dengan jayanya,” ujarnya.

Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong TUDM berkata, kejayaan kontinjen MALBATT di Lubnan berjaya meningkatkan imej dan reputasi ATM di persada antarabangsa. Foto: AirTimes
Beliau menegaskan, penugasan kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik peperangan Israel-Gaza yang telah tercetus sejak 7 Oktober 2023 yang lalu.
“Konflik ini memberi kesan kepada keselamatan di selatan Lubnan dan menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT 850-11,
“Pengalaman tuan-tuan dan puan-puan yang sering berdepan dengan keadaan getir peperangan dapat dijadikan pengalaman berharga untuk dikenang sepanjang hayat,
“Ianya juga menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat Malaysia agar terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara malaysia agar keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi ini terus dihargai,” ujarnya lagi.

Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama (MK AB) bersama kumpulan pertama MALBATT 850-11. Foto: AirTimes/N.Huda
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada keluarga pegawai dan anggota MALBATT 850-11 diatas kesabaran, pengorbanan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pegawai dan anggota ATM dalam melaksanakan misi ini.
Kontinjen MALBATT 850-11 keseluruhannya diketuai oleh Kolonel Burhan Sagoni, berkekuatan seramai 854 anggota terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.-airtimes.my
#pertahanan #Malbatt #Lubnan #airtimes

