KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kedudukan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan akan diteruskan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL), walaupun terdapat desakan dari pihak tertentu untuk menarik balik pasukan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa memantau keselamatan dan kesejahteraan anggota MALBATT di wilayah berkenaan setiap hari.
“Kita melalui MINDEF sentiasa berhubung secara harian dengan petugas di Lubnan bagi memastikan keselamatan mereka,
“Malaysia terikat dengan pendirian PBB melalui UNIFIL. Setakat ini, Duta Besar Malaysia masih berada di Beirut untuk terus memantau keadaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan, pasukan MALBATT sedia ada akan menamatkan tempoh penugasan dan dijangka kembali ke Malaysia antara 6 hingga 19 November ini.
Manakala, pasukan baru akan dihantar sebagai pengganti bagi meneruskan misi tersebut.
Tambah Anwar, Malaysia bersama 33 negara lain yang menyertai UNIFIL turut mengecam serangan Israel ke atas Lubnan dalam satu kenyataan bersama yang diterajui oleh Poland.
Kenyataan itu mencerminkan kesepakatan negara-negara penyumbang anggota UNIFIL dalam mengutuk keganasan tersebut.
“Negara kuasa besar pun, dalam sejarah muktahir tidak segila dan sekejam, sezalim Israel seperti yang berlaku sekarang
“Jarang dalam sejarah kita lihat mereka sanggup mengetepikan peraturan dunia, hukum dan undang-undang sehingga menyebabkan risiko kepada petugas PBB di Lubnan
“Sebab itu, kita menyokong kenyataan bersama 33 negara, mendesak Israel menghentikan keganasan ini,” jelas Perdana Menteri.
Beliau juga menegaskan, Malaysia akan terus mempertahankan UNIFIL sebagai elemen keselamatan penting di rantau yang bergolak itu.
Malaysia, bersama Indonesia dan Brunei, akan terus memberikan sokongan penuh kepada misi ini bagi memastikan kestabilan serta keselamatan di Lubnan dan rantau sekitarnya.
“Ini adalah pendirian kita bersama dengan UNIFIL. InsyaAllah, kita akan melakukan yang terbaik demi keselamatan pasukan dan komitmen kepada keamanan serantau,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut menyatakan bahawa penugasan MALBATT di selatan Lubnan akan diteruskan.
Pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 hingga 18 November ini bagi menggantikan pasukan sedia ada.
Beliau berkata, keputusan ini diambil selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB), menerima makluman daripada Force Commander UNIFIL berkenaan tarikh pertukaran bagi semua pasukan UNIFIL, termasuk MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.-airtimes.my
#pertahanan #MALBATT #Lubnan #Malaysia #Anwar #DSAI #airtimes
