Home Pertahanan dan Keselamatan Pertukaran pasukan MALBATT di Lubnan bermula November ini – Khaled

Pertukaran pasukan MALBATT di Lubnan bermula November ini – Khaled

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Pasukan pengaman Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) yang beroperasi di selatan Lubnan dijadualkan akan diganti secara berperingkat dengan pasukan MALBATT 850-12 bermula 7 November ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Force Commander (FC) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) memaklumkan pertukaran itu membabitkan kesemua pasukan UNIFIL.

“Penghantaran pasukan MALBATT 850-12 akan dibuat secara berperingkat dari 6 November hingga 18 November,

“Penerimaan pasukan MALBATT 850-11 juga secara berperingkat dari 7 November hingga 19 November,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan MALBATT 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab Pasukan MALBATT 850-11 di bawah panji-panji dan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagaimana protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Pasukan UNIFIL.

“Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada pasukan MALBATT 850-12 dan sekalung penghargaan buat pasukan MALBATT 850-11 yang telah menggalas tugas dengan cemerlang sepanjang berada di kawasan tanggungjawab,

“Semoga pasukan MALBATT 850-12 dapat terus melaksanakan tugas dengan cemerlang sebagaimana pasukan MALBATT 850-11 sebelum ini. Doa dan sokongan seluruh rakyat Malaysia mengiringi mereka dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penggiliran ini bakal menggantikan pasukan pengaman MALBATT 850-11 yang sudah berkhidmat selama satu tahun, sejak 14 November tahun lalu.

“Kalau kita lihat MALBATT yang ke-11 ini, tarikh tempohnya (akan tamat) sehingga 14 November ini,

“Jadi selepas daripada itu, bermula 6 November ini, kita akan atur gerakkan pasukan yang baru, bagi pasukan atur gerak kita yang ke-12 (MALBATT 850-12). Itu saja yang saya maklum,” katanya semasa menjawab soalan tambahan wakil Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Moktar Radin di Dewan Rakyat pada 24 Oktober lalu.-airtimes.my

#pertahanan #MALBATT #Lubnan #Malaysia #airitmes

Leave a Reply