KUALA LUMPUR, 17 Okt – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sekali lagi menegaskan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi dan mengemas kini keadaan semasa perkembangan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang ditempatkan di selatan Lubnan.
Beliau menegaskan, tahap keselamatan semasa pasukan MALBATT 850-11 adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset di kawasan yang dijaga serta dikawal oleh pasukan berkenaan.
Mohamed Khaled turut menjelaskan, pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.
“Mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” jelasnya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkenaan situasi keselamatan pasukan MALBATT 850-11 di dalam misi pengaman PBB UNIFIL di Lubnan dengan mengambil kira perkembangan terkini serangan tentera Israel.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, UNIFIL mengarahkan semua pasukan, termasuk MALBATT 850-11 untuk menghentikan operasi rondaan dan pergerakan logistik berikutan situasi tegang di wilayah itu.
Menurutnya, semua anggota juga diarahkan untuk kekal di penempatan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga dan sebarang perancangan untuk menarik balik pasukan MALBATT 850-11 dari Lubnan tertakluk kepada kelulusan UNIFIL.
Terdahulu, Air Times melaporkan 3 posisi pasukan pengaman UNIFIL termasuk ibu pejabat di Naquora berhadapan dengan tindakan sengaja oleh tentera Israel pada 9 hingga 10 Oktober lalu.
Insiden yang berlaku di kawasan pesisir sempadan Lubnan itu menyaksikan 5 anggota pengaman cedera dalam 3 kejadian berasingan di ibu pejabat UNIFIL.
UNIFIL turut mengesahkan tindakan kereta kebal Israel yang memusnahkan pagar serta menceroboh kem UNIFIL di Ramyeh.
Kejadian yang berlaku di sektor Ghana itu turut menyebabkan anggota pengaman yang berlindung di kem terbabit mengalami masalah kesihatan akibat tembakan asap yang dilepaskan oleh tentera Israel.
MALBATT 850-11 terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk 3 pegawai serta 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), dan seorang pegawai awam kewangan dari MINDEF.
Pasukan ini telah diaturgerakkan dan meneruskan misi PBB UNIFIL di Lubnan sejak 14 November 2023. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Lubnan #Malbatt #Malaysia #serangan
