Home Teknologi PertahananAirbus dan Toshiba jalin kerjasama penyelidikan superkonduktiviti untuk pesawat bertenaga hidrogen

Airbus dan Toshiba jalin kerjasama penyelidikan superkonduktiviti untuk pesawat bertenaga hidrogen

by M.Daim
A+A-
Reset

TOKYO, 17 OKT – Airbus UpNext, anak syarikat milik penuh Airbus, dan Toshiba Energy Systems & Solutions Corporation (Toshiba), cabang tenaga Kumpulan Toshiba, telah mengumumkan kerjasama dalam penyelidikan teknologi superkonduktor bagi kegunaan pesawat masa hadapan yang dikuasakan hidrogen.

Kerjasama ini bertujuan menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat dalam teknologi superkonduktor, yang dijangka memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat dekarbonisasi industri penerbangan.

Pesawat bertenaga hidrogen dilihat sebagai salah satu penyelesaian paling berpotensi dalam usaha mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050. Teknologi superkonduktor, yang menggunakan hidrogen cecair pada suhu -253°C, tidak hanya berfungsi sebagai bahan api, tetapi juga mampu menyejukkan sistem pendorongan elektrik dengan cekap.

Teknologi kriogenik ini dijangka meningkatkan kecekapan tenaga serta prestasi pesawat dengan ketara melalui pemindahan kuasa yang hampir sempurna dalam sistem elektriknya.

Menerusi kenyataan media, Grzegorz Ombach, Naib Presiden Kanan Airbus dan Ketua Penyelidikan & Teknologi Disruptif (R&T), menyatakan bahawa kerjasama dengan Toshiba memberi peluang untuk melangkaui had motor elektrik konvensional dan separa superkonduktor yang ada sekarang.

“Dengan kerjasama ini, kami berharap dapat menghasilkan teknologi terobosan yang akan membuka peluang reka bentuk baharu, terutamanya untuk pesawat bertenaga hidrogen masa depan Airbus,” katanya.

Sementara itu, Tsutomu Takeuchi, Pegawai Korporat Toshiba yang bertanggungjawab ke atas perniagaan Sistem Kuasa, menekankan bahawa gabungan teknologi superkonduktor Toshiba yang maju akan menjadi asas kukuh bagi kerjasama ini.

“Kami yakin bahawa kerjasama dengan Airbus akan memacu kemajuan teknologi generasi seterusnya dalam sektor aeroangkasa dan membantu usaha dekarbonisasi industri penerbangan,” tambah beliau.

Dalam perjanjian yang ditandatangani sempena Pameran Aeroangkasa Jepun 2024 di Tokyo, Airbus dan Toshiba menyasarkan untuk membangunkan motor superkonduktor dua megawatt yang boleh menyokong operasi pesawat bertenaga hidrogen. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ludovic Ybanez, Ketua Demonstrator Cryoprop dan Teknologi Kriogenik Airbus UpNext, serta Kensuke Suzuki, Ketua Bahagian Teknologi Baharu di Toshiba Energy Systems & Solutions Corporation.

Selama sedekad yang lalu, Airbus telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan risiko penggunaan teknologi superkonduktor dalam pesawat. Airbus UpNext baru-baru ini melancarkan Cryoprop, demonstrator bagi menguji sistem pendorongan elektrik superkonduktor kelas dua megawatt.

Di pihak Toshiba, syarikat itu telah menjalankan penyelidikan dalam aplikasi teknologi superkonduktor selama hampir setengah abad dan memperkenalkan prototaip motor superkonduktor dua megawatt pada Jun 2022 untuk aplikasi mobiliti.

Perkongsian ini menandakan pencapaian pertama inisiatif Hab Teknologi Airbus Jepun, yang dilancarkan pada Mei 2024, bertujuan untuk memajukan penyelidikan, teknologi, dan inovasi dalam bidang aeroangkasa di Jepun. – airtimes.my

#AirTimes #Airbus #Teknologi

Related Articles

Leave a Reply