Home Teknologi PertahananTHAAD: Penangkis serangan misil Iran dan proksinya

THAAD: Penangkis serangan misil Iran dan proksinya

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Baru-baru ini. negara Amerika Syarikat (AS) melalui Pentagon telah membuat pengumuman rasmi bahawa mereka akan menghantar Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) kepada rakan sekutunya, Israel.

Pentagon berkata bahawa Presiden AS, Joe Biden telah mengarahkan bateri THAAD dan anak kapalnya dihantar bagi mempertahankan Israel dan rakyat AS yang berada di sana.

“Tindakan ini menunjukkan komitmen AS terhadap pertahanan Israel dan mempertahankan rakyat AS di Israel daripada sebarang serangan oleh Iran pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Persoalannya, sejauh manakah sistem anti peluru berpandu THAAD ini dapat membantu Israel bagi mempertahankan dirinya daripada serangan misil Iran dan sekutunya.

Sistem pertahanan THAAD ialah salah satu senjata anti peluru berpandu paling berkuasa yang dimiliki oleh tentera AS.

THAAD merupakan satu sistem yang mampu memintas peluru berpandu balistik pada jarak 150 hingga 200 kilometer dan dengan kadar kejayaan yang tinggi dalam setiap ujian yang dilakukan tentera AS.

Menggunakan gabungan sistem radar dan pemintas termaju, THAAD adalah satu-satunya sistem pertahanan peluru berpandu AS yang mampu memusnahkan peluru berpandu balistik jarak dekat, sederhana dan pertengahan ketika tahap akhir penerbangannya.

Pemintas THAAD menggunakan tenaga kinetik, bermakna sistem ini menyasarkan sasaran mereka dengan cara melanggar misil musuh tanpa menggunakan bahan peledak.

THAAD dilengkapi dengan radar canggih yang dapat mengesan pergerakan sasaran serta mempunyai pelancar yang dilepaskan bagi memintas misil.

Sistem ini digunakan untuk melindungi kawasan tertentu dari serangan misil balistik, khususnya dari ancaman jarak jauh yang tidak dapat diatasi oleh sistem pertahanan biasa.

THAAD kali pertama berjaya mengekang ancaman di udara pada tahun 2022, apabila sistem yang dioperasikan oleh negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berjaya memintas misil balistik jarak sederhana yang dilancarkan oleh Houthi. Pada ketika itu, Houthi telah melancarkan operasi Taufan Yaman terhadap Negara Teluk itu.

Kemampuan sistem pertahanan THAAD dilihat lebih unggul berbanding sistem Iron Dome yang dimiliki oleh Israel ketika ini.

Ini kerana, THAAD dan Iron Dome merupakan sistem persenjataan yang berbeza dari segi kelas. THAAD merupakan pemintas jarak sederhana dan jauh manakala Iron Dome adalah untuk aras rendah.

Iron dome direka hanya untuk menghadapi roket jarak pendek dan mortar yang biasanya dilancarkan dari jarak dekat seperti yang dilakukan oleh pasukan pejuang Palestin di Gaza dan Hezbollah di selatan Lubnan.

Jadi, tidak hairanlah mengapa Iron Dome Israel tidak mampu memintas serangan 200 misil balistik yang dilancarkan Iran pada 1 Oktober lalu.

Berbeza dengan THAAD, sistem ini memang direka untuk menangani misil balistik jarak pendek hingga sederhana, yang biasanya dilancarkan dari jarak yang lebih jauh dan lebih kuat seperti misil balistik yang dilancarkan oleh negara berkemampuan misil seperti Iran.

Secara ringkasnya, Iron Dome adalah sistem pertahanan yang dioptimumkan untuk melindungi daripada roket jarak dekat dan ancaman kecil, sementara THAAD digunakan untuk melindungi daripada ancaman dari ancaman yang lebih besar. – airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #THAAD

Related Articles

Leave a Reply