GAZA, 18 OKT – Hospital Indonesia dan 2 buah hospital lain di utara Gaza kini berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang serius.
Ini berikutan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang semakin berkurangan.
Keadaan yang sama turut dilaporkan di Hospital Kamal Adwan dan Hospital Al-Awda.
Malah, doktor di hospital-hospital tersebut telah memohon pembukaan koridor kemanusiaan bagi membolehkan bantuan kecemasan tiba di kawasan tersebut yang kini terkepung akibat pertempuran sengit antara Israel dan Hamas.
Laporan media antarabangsa memetik kenyataan pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr. Hussam Abu Safiya yang mendedahkan lebih 300 kakitangan perubatan di hospital tersebut kekurangan makanan dan sumber tenaga yang diperlukan untuk terus memberikan rawatan.
“Kami merayu kepada komuniti antarabangsa, Palang Merah, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membuka laluan bantuan kemanusiaan bagi membekalkan bahan api, peralatan perubatan, makanan dan bantuan kepada sistem kesihatan kami,” katanya yang dipetik oleh laporan media Arab News.
Difahamkan bekalan yang sedia ada mampu untuk menampung satu hidangan sehari untuk petugas perubatan, pesakit, dan pelarian.
Israel telah melancarkan serangan besar di kawasan Jabalia di utara Gaza sejak 12 hari lalu. Walaupun terdapat arahan pemindahan oleh tentera Israel, doktor di hospital-hospital tersebut enggan meninggalkan pesakit mereka. Serangan udara terbaru dilaporkan telah membunuh 350 orang Palestin di Jabalia dan kawasan sekitarnya. Di Gaza City pula, serangan udara pada Rabu telah mengorbankan 13 orang, menurut petugas perubatan. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Krisis
