Home SemasaDemi Palestin, Malaysia desak Israel dikeluarkan dari PBB – Anwar

Demi Palestin, Malaysia desak Israel dikeluarkan dari PBB – Anwar

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Malaysia menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan agar Israel disingkirkan daripada keanggotaan pertubuhan itu sekiranya terbukti melanggar undang-undang antarabangsa, hukum, dan resolusi berkenaan isu Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini menjelaskan, draf resolusi tersebut kini dalam proses rundingan dan dijangka akan dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.

“Pada 31 Okt lepas Malaysia telah menyertai Kumpulan Teras (Core Group) bagi penyediaan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB memohon Pendapat Nasihat (Advisory Opinion) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB,

“Draf resolusi ini sedang dalam proses rundingan dan kita juga akan mengkaji setelah berlakunya pelanggaran, undang-undang, hukum dan keputusan PBB supya Israel dikeluarkan atau disingkir sebagai anggota PBB,” katanya.

Draf tersebut juga meliputi kerjasama dengan agensi PBB, organisasi antarabangsa, dan negara ketiga yang terlibat di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT) dengan persetujuan pihak berkuasa Palestin, bertujuan memberikan manfaat kepada rakyat Palestin di wilayah itu.

Menurut Anwar, sekiranya resolusi ini diluluskan, ia bakal menjadi asas perundangan bagi memastikan United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) terus dapat menyediakan khidmat penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, dan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh lebih enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan, dan Syria.

“Selama 75 tahun, UNRWA menjadi tali hayat utama penyaluran bantuan antarabangsa kepada rakyat Palestin dan peranan penting UNRWA di Palestin juga disokong penuh Malaysia dan bantuan, kerjasama serta penyelarasan akan terus ditingkatkan,

“Sokongan berterusan Malaysia terhadap UNRWA ini agak kritikal dan kita juga mendapat penghargaan daripada Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini yang dizahirkan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dalam sidang PBB lepas dan memohon kerjasama ini dapat ditingkatkan,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa konflik berterusan di Gaza telah menyebabkan kematian dan kecederaan yang besar. Sehingga 1 November, dianggarkan 43,204 rakyat Palestin telah terkorban termasuk 16,500 kanak-kanak, manakala 101,641 lagi dilaporkan cedera dan lebih 11,000 orang hilang.

“Secara purata 118 rakyat Palestin terkorban dan 277 lagi cedera setiap hari sejak Oktober 2023,

“Situasi di Gaza malangnya terus meruncing dan seperti mana saya tegaskan kerana keganasan itu tanpa henti with impunity, dengan izin, dan dengan dukungan langsung dan tidak langsung dari negara-negara sekutu Israel,” tambahnya lagi.-airtimes.my

#anwar #DSAI #Malaysia #palestin #PBB #desak #Parlimen #airtimes

Related Articles

Leave a Reply