LUMUT, 29 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) memulakan latihan bersama menerusi Eksesais CARAT (Cooperation Afloat Readiness and Training) 2024, yang bertujuan memperkukuh strategi keselamatan maritim serta keupayaan tempur kedua-dua negara.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan, latihan ketenteraan dwitahunan ini berlangsung dari 29 Oktober hingga 5 November di beberapa lokasi strategik termasuk Lumut, Subang, dan perairan utara Selat Melaka.
“Eksesais CARAT adalah platform latihan ketenteraan yang bertujuan memperkukuh kerjasama maritim antara kedua-dua negara,
“Latihan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan tempur, malah menggalakkan perkongsian keselamatan dan kefahaman operasi dalam persekitaran maritim,” jelas MK AB dalam kenyataan pada Selasa.
Latihan ini terdiri daripada 2 fasa utama: Fasa Pelabuhan yang berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober melalui Subject Matter Expert Exchange (SMEE), diikuti dengan Fasa Laut dari 1 hingga 3 November melalui Field Training Exercise (FTX).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf J5 Markas Angkatan Bersama (MK AB), Laksamana Pertama Muhammad Rodhi Ariffin di Pusat Peperangan dan Doktrin Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pangkalan TLDM Lumut hari ini.
Seramai 441 peserta ATM dan 380 peserta TLAS terlibat dalam eksesais kali ini.
Pelbagai aset ATM turut menyertai CARAT 2024, termasuk KD TERENGGANU, KD RENCONG, 2 buah pesawat F-18D, sebuah pesawat Fennec, sebuah pesawat EC 725, dan Fast Combat Boat (FCB).
Manakala, aset TLAS yang terlibat termasuk USS DEWEY, sebuah pesawat P-8A Poseidon, dan sebuah pesawat MH-60S.
Turut hadi, Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api, Laksamana Pertama Tay Yap Leong, Captain John P. Baggert, Deputy Commander Squadron 7, serta Kepten Yusman Darmawan TLDM selaku Exercise Director, dan wakil dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM. -airtimes.my
#ATM #Carat2024 #Malaysia #USNAVY #airtimes #pertahanan #latihan