Home SemasaIsrael haramkan UNRWA: Malaysia seru dunia pertahan hak pelarian Palestin

Israel haramkan UNRWA: Malaysia seru dunia pertahan hak pelarian Palestin

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rang undang-undang Parlimen Israel (Knesset) yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Wilayah Pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan menyifatkan, keputusan itu sebagai serangan terang-terangan terhadap Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang selama ini menjadi talian hayat kepada 5.9 juta rakyat palestin di Timur Tengah.

“Ia juga merupakan penempelakan serius kepada masyarakat antarabangsa serta kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa,

“Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmaqdis, di mana kehadiran UNRWA diktiraf melalui perjanjian antara Palestin dan PBB,” jelas kementerian itu.

UNRWA telah ditubuhkan oleh PBB dan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin dan pelarian di seluruh Timur Tengah, menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, terutamanya semasa konflik yang masih berterusan.

Wisma Putra turut menyifatkan rang undang-undang itu seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.

Tegasnya, ini merupakan sebahagian daripada strateginya untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanahair mereka seperti yang didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194.

“Ia juga sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza,” ujar kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Malaysia kekal teguh dalam komitmennya menyokong UNRWA.

“Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan yang tegas dan segera terhadap rang undang-undang ini demi melindungi UNRWA, dan juga demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” tegas Wisma Putra. -airtimes.my

#semasa #airtimes #Malaysia #PBB #UNRWA #Palestin

Related Articles

Leave a Reply