KUALA LUMPUR, 29 Okt – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz hari ini mempersoalkan kesukaran perolehan 4 buah helikopter jenis UH-60 (Black Hawk) untuk Malaysia, berbanding 32 buah yang lebih mudah diperolehi kerajaan Filipina.
Ahli Parlimen Tanah Merah turut itu menyifatkan, jawapan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang menyatakan situasi Perang di Ukraine adalah punca proses perolehan pesawat helikopter Black Hawk tergendala adalah pelik dan boleh dianggap sebagai bahan jenaka.
Menurut Ikmal Hisham, kelewatan ini bukan sahaja merugikan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang amat memerlukan keupayaan pesawat jenis ini, malah membuka peluang kepada pelobi-pelobi lain yang mahu Kementerian Pertahanan (MINDEF) mendapatkan helikopter sedia ada dari syarikat mereka.
“Justeru, saya sangat berharap kegagalan Syarikat Aerotree Sdn. Bhd. ini tidak boleh dipandang ringan,
“Mereka harus didenda oleh MINDEF berdasarkan kepada terma kontrak yang telah dimeterai sebelum ini sebagai balasan ganti rugi masa dan ruang (time and space) kesiagaan ATM untuk melaksanakan tugas menjaga dan melindungi kedaulatan negara,” soalnya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menegaskan, pemilihan pesawat Black Hawk adalah keputusan yang tepat dengan mengambil kira keperluan sebenar TDM yang amat memerlukan keupayaan jenis kombatan dan juga ‘search and rescue’ (SAR).
Walau bagaimanapun, tegasnya, keputusan pemilihan pesawat helikopter jenis AW139 hanyalah bersifat sementara dan pesawat tersebut tidak berupaya melaksanakan kerja-kerja bersifat underslung sebagaimana keupayaan pesawat Nuri.
“Justeru, pesawat AW139 yang disewakan oleh TUDM hanya melaksanakan kerja-kerja utiliti sahaja dan tidak menyokong operasi kombatan sebagaimana pesawat usang Nuri yang telah digunakan oleh ATM sejak tahun 1960an lagi,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Ikmal turut mempersoalkan mengapa kontrak perolehan helikopter Black Hawk ini tidak dilaksanakan secara Government-to-Government (G2G) yang boleh dilaksanakan secara Foreign Military Sales (FMS) atau Excess Defense Articles (EDA) antara MINDEF dan juga Kerajaan Amerika Syarikat tanpa memerlukan penyertaan pihak ketiga?
“Saya yakin pegawai Bahagian Perolehan di MINDEF boleh melaksanakan urusan perolehan pesawat Black Hawk ini tanpa perlu melantik syarikat ketiga seperti Aerotree Sdn. Bhd. yang tiada keupayaan dalam hal ehwal industri aviation melainkan hanya menjadi ejen ketiga penerima bayaran sahaja,
“Saya juga yakin Dewan Senat Amerika Syarikat tidak akan bersetuju terhadap pelaksanaan model perniagaan seumpama mengambil kira semua urusan perolehan aset bersifat persenjataan dari syarikat Amerika Syarikat perlu bersifat telus dengan jumlah kontrak dilaporkan secara terbuka di Dewan Senat Amerika Syarikat,
“Justeru, tindakan untuk menganugerahkan kontrak sewaan secara GOCOM kepada Syarikat Aerotree Sdn. Bhd. ini sangat meragukan sejak awal lagi,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan, berkemungkinan akan membatalkan kontrak perolehan helikopter Black Hawk yang dianugerahkan secara terus kepada Syarikat Aerotree Sdn. Bhd untuk melaksanakan sewaan berdasarkan konsep ‘Government Operate, Company Owned and Maintain’ (GOCOM).-airtimes.my
#pertahanan #DewanRakyat #parlimen #Malaysia #aset #BlackHawk #airtimes
