RIYADH, 30 MAC – Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan tarikh 1 Syawal jatuh pada hari ini.
Pengumuman dibuat oleh kerajaan Arab Saudi selepas anak bulan dilihat di beberapa lokasi di negara itu pada petang Sabtu.
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Arab Saudi adalah jatuh pada hari Ahad,” lapor Saudi Press Agency.
Arab Saudi dan beberapa buah negara di rantau Timur Tengah telah memulakan ibadah Ramadan pada 1 Mac 2025.
Proses cerapan anak bulan Syawal di Arab Saudi dilakukan sehari lebih awal iaitu pada 29 Mac 2025, sementara Malaysia hanya menjalankan proses cerapan pada hari ini.
Perbezaan tarikh ini bukan sesuatu yang baharu. Pada tahun 2023, Arab Saudi menyambut Aidilfitri sehari lebih awal berbanding Malaysia.
Penentuan tarikh kalendar Hijrah di Arab Saudi dibuat menerusi cerapan anak bulan yang meluas di seluruh negara. Negara itu juga sering menjadi antara yang terawal mengumumkan permulaan Ramadan dan Aidilfitri. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Global #Syawal #Ramadan #Aidilfitri