Landskap penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melalui evolusi besar sejak era memerangi pengganas komunis sehingga pada masa kini.
Era memerangi pengganas komunis yang mana pasukan polis merupakan elemen paling hadapan ketika itu khususnya melalui perisikan Cawangan Khas telah berlalu.
Peranan Cawangan Khas dalam risikan bersama Angkatan Tentera Malaysia menjadi nadi penting dalam menumpaskan ancaman komunis.
Beralih pada dekad 90-an dan awal milenium pula, menyaksikan PDRM berdepan ancaman subversif, rompakan bersenjata, kegiatan gangsterisme serta lanun di perairan Sabah.
Namun, naratif cabaran kepolisan hari ini berubah secara menyeluruh.
Ancaman tidak lagi terhad kepada musuh bersenjata di lapangan, sebaliknya melibatkan dimensi baharu termasuk pengaruh politik, jenayah siber, persepsi awam dan dinamika geopolitik.
Antara cabaran paling ketara ialah isu campur tangan pihak berkepentingan dalam siasatan, khususnya melibatkan kes berprofil tinggi.
Amaran pimpinan negara agar tiada pihak berpengaruh mencampuri urusan PDRM mencerminkan kebimbangan terhadap kebebasan institusi penguatkuasaan.
Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan integriti siasatan, malah memberi kesan langsung kepada persepsi masyarakat terhadap ketelusan dan keadilan.
Dalam era maklumat terbuka, sebarang tanggapan wujudnya ‘double standard’ boleh meruntuhkan keyakinan awam dengan pantas.
Turut memberi cabaran adalah ledakan teknologi dan jenayah tanpa sempadan.
Perubahan paling drastik dalam landskap keselamatan adalah kemunculan jenayah siber dan penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI).
Jika dahulu ancaman dapat dilihat secara fizikal, kini ia wujud dalam bentuk maya yang sukar dikesan dan merentasi sempadan negara.
PDRM bukan lagi sekadar pasukan penguat kuasa di jalanan, tetapi turut berperanan sebagai benteng keselamatan digital.
Keupayaan menguasai teknologi, analisis data dan risikan siber menjadi keperluan kritikal bagi memastikan pasukan kekal relevan.
Namun begitu, cabaran ini turut menuntut pelaburan besar dalam latihan, kepakaran dan infrastruktur iaitu sesuatu yang perlu diseimbangkan dengan kekangan sumber sedia ada.
Dalam apa jua keadaan, cabaran terbesar PDRM kekal berkisar kepada soal integriti dan kepercayaan masyarakat.
Pada era media sosial, setiap tindakan anggota boleh menjadi perhatian umum dan dihakimi dalam sekelip mata.
Kes-kes salah laku, walaupun terpencil, sering memberi kesan besar kepada keseluruhan imej pasukan.
Justeru, usaha memperkukuh integriti bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak.
PDRM juga perlu menyesuaikan pendekatan perkhidmatan agar lebih mesra rakyat, telus dan profesional.
Ini termasuk meningkatkan komunikasi strategik serta keupayaan mengurus persepsi awam secara efektif.
Satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian kepimpinan PDRM khususnya Kementerian Dalam Negeri adalah penstrukturan semula dan kesiapsiagaan masa depan.
Dalam mendepani cabaran semasa, PDRM turut melaksanakan penstrukturan semula melibatkan penempatan dan kekuatan anggota.
Langkah ini penting bagi memastikan sumber manusia diagihkan secara optimum mengikut keperluan operasi semasa.
Pada masa sama, ancaman keselamatan global seperti konflik di Asia Barat serta aktiviti perisikan asing turut memberi implikasi kepada keselamatan dalam negara.
Ini menuntut tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, termasuk kerjasama antara agensi dan perkongsian risikan.
PDRM kini berada di persimpangan penting antara warisan kecemerlangan lampau dan tuntutan realiti baharu.
Cabaran yang dihadapi bukan sahaja bersifat fizikal, tetapi turut melibatkan dimensi teknologi, integriti dan persepsi masyarakat.
Dalam konteks ini, kejayaan PDRM tidak lagi diukur semata-mata melalui kadar jenayah, tetapi juga sejauh mana pasukan itu mampu mengekalkan kepercayaan rakyat.
Tanpa keyakinan awam, sekuat mana pun keupayaan operasi, ia tetap tidak mencukupi.
Justeru, masa depan PDRM bergantung kepada keupayaannya untuk menyesuaikan pasukan tersebut dengan keadaan semasa dan paling penting, mengekalkan prinsip keadilan serta integriti.
