Home SemasaKetua tentera Uganda dakwa tenteranya mampu tawan Tehran dalam masa 2 minggu

Ketua tentera Uganda dakwa tenteranya mampu tawan Tehran dalam masa 2 minggu

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KAMPALA, 28 MAC – Ketua  Uganda Peoples’ Defence Forces (UPDF), Muhoozi Kainerugaba, mencetuskan perhatian  mendakwa tenteranya mampu menawan ibu negara Tehran dalam tempoh dua minggu.

Kenyataan itu dibuat menerusi beberapa hantaran di platform media sosial X, di mana beliau menyatakan bahawa hanya satu briged UPDF sudah mencukupi untuk melaksanakan operasi tersebut.

Dakwaan tersebut hadir ketika ketegangan di Timur Tengah terus meningkat, khususnya melibatkan Iran dan sekutunya.

Dalam siri hantaran sama, Kainerugaba turut memberi bayangan bahawa Uganda bersedia untuk menyokong Israel sekiranya konflik serantau bertambah buruk.

Beliau menegaskan bahawa sebarang ancaman terhadap Israel boleh mendorong Uganda untuk terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.

“Kami mahu peperangan di Timur Tengah berakhir sekarang. Dunia sudah letih dengannya. Namun, sebarang usaha untuk memusnahkan Israel akan membawa kami ke dalam peperangan ini di pihak Israel,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi amaran kepada Tehran dengan menyatakan bahawa Uganda akan bertindak balas sekiranya diserang.

Kainerugaba menegaskan bahawa negaranya mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu.

Kenyataan tersebut dibuat dalam konteks ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, susulan langkah Donald Trump mengerahkan ribuan tentera tambahan ke rantau Timur Tengah, yang mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran.

Untuk rekod, Kainerugaba merupakan anak kepada Presiden Uganda, Yoweri Museveni, dan sering mencetuskan kontroversi menerusi kenyataan terbuka berkaitan isu antarabangsa. -airtimes.my 

Related Articles

Leave a Reply