KUWAIT, 02 MAC 2026 – Sebuah pesawat pejuang F-15E Strike Eagle milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dipercayai terhempas di Al Jahra, utara Kuwait awal pagi tadi, ketika ketegangan ketenteraan di rantau Timur Tengah semakin memuncak.
Beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan pesawat enjin berkembar tersebut terbakar dan berpusing di udara sebelum terhempas.
Menurut laporan awal, jet tempur tersebut jatuh di kawasan berpenduduk jarang berhampiran sempadan Iraq, berdekatan laluan air Khor Abdullah.
Laporan media antarabangsa mendakwa sebahagian daripada serpihan pesawat telah jatuh di dalam kawasan penapisan minyak Mina Al-Ahmadi, yang mengakibatkan kecederaan kepada dua orang pekerja di lokasi terbabit dan pasukan kecemasan telah digerakkan dengan segera ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan.

Video tular menunjukkan pesawat tempur F-15 terbakar dan berpusing di udara sebelum terhempas./Foto: Social Media
Memetik sumber tempatan, juruterbang pesawat berkenaan dilaporkan berjaya keluar menggunakan kerusi pelontar dengan selamat sebelum impak berlaku.
Rakaman video berasingan turut menunjukkan juruterbang tersebut mendarat menggunakan payung terjun dan diberikan bantuan awal oleh penduduk tempatan sebelum diambil oleh pasukan keselamatan Kuwait.
Setakat ini, pihak Pentagon dan Markas Pusat AS (CENTCOM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan punca sebenar insiden tersebut. -airtimes.my
