Setiap kali pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat kemunculan di luar negara, ia pasti menjadi antara aset yang mencuri perhatian.
Situasi sama sekali lagi dapat dilihat semasa Pertunjukan Udara Singapura 2026 (Singapore Airshow 2026), apabila Sukhoi ‘Toruk Makto’ tampil melakukan aksi.
‘Toruk Makto’ menjadi sebagai salah satu tarikan utama pameran udara tersebut yang bertaraf antarabangsa walaupun ada kehadiran pesawat-pesawat lain.
Menariknya, ini bukan kali pertama Sukhoi TUDM beraksi di ruang udara Singapura.
Namun, walaupun kemunculan berulang, aura dan impak yang dibawa oleh Su-30MKM tidak pernah pudar.
Persoalannya, mengapa Sukhoi Su-30MKM sentiasa menjadi tumpuan, walaupun wujud kritikan terhadap pemilihan pesawat tempur buatan Rusia dalam armada TUDM?
Faktor paling jelas ialah keupayaan manuver ekstrem pesawat Sukhoi Su-30MKM.
Pesawat generasi ke-4 ini dilengkapi enjin thrust vectoring, canard, serta sistem ‘fly-by-wire’ yang membolehkannya melakukan aksi udara dramatik.
Semestinya manuver ikonik ala Pugachev’s Cobra menjadi perhatian peminat aksi udara.
Dalam konteks pertunjukan udara, keupayaan ini menjadikan Su-30MKM jauh lebih ‘hidup’ dan agresif berbanding kebanyakan pesawat tempur lain di rantau ini.
Jadi, tidak hairanlah setiap sesi pertunjukan udara sentiasa dipenuhi penonton dan jurugambar dalam Dan antarabangsa untuk membidik memori.
Pada satu aspek, kemunculan lebih kerap pesawat Sukhoi negara di pentas umum berbanding pesawat sama milik rakan serantau dilihat sebagai satu strategi ‘pamer kuasa’.
Berbeza dengan beberapa negara pengguna Sukhoi lain, TUDM mengamalkan strategi pendedahan awam yang aktif.
Su-30MKM kerap dijadikan aset utama dalam acara utama seperti LIMA, perbarisan udara Hari Kebangsaan, dan pameran antarabangsa termasuk di Singapura.
Pendekatan ini menjadikan Sukhoi bukan sekadar aset ketenteraan, tetapi juga simbol keupayaan dan keyakinan pertahanan udara negara.
Ini berbeza dengan Indonesia dan Vietnam yang cenderung mengekalkan pesawat Sukhoi mereka dalam peranan operasi dan latihan, dengan penampilan awam yang lebih terhad.
Pesawat Su-30MKM bukan Sukhoi biasa. Ia merupakan varian khusus Malaysia yang dibangunkan berasaskan Su-30MKI India, namun dengan gabungan teknologi Rusia dan Barat.
Sistem avionik, penderia dan peperangan elektroniknya menjadikan Su-30MKM antara varian Sukhoi paling kompleks dan berkeupayaan di Asia Tenggara.
Jika dibandingkan, Vietnam mengoperasikan Sukhoi Su-30MK2 yang lebih fokus kepada serangan maritim.
Indonesia pula menggunakan gabungan pesawat Sukhoi Su-27 dan Su-30 dalam konfigurasi lebih asas.
Myanmar walaupun memiliki pesawat Sukhoi Su-30SME yang lebih baharu tetapi masih terhad dari segi integrasi sistem bukan Rusia.
Dalam konteks ini, Su-30MKM sering dianggap varian Sukhoi paling canggih di rantau Asia Tenggara, sekali gus meningkatkan nilai simboliknya setiap kali beraksi di pentas antarabangsa.
Tidak dinafikan, terdapat suara yang kerap menegaskan agar ATM tidak lagi memilih pesawat tempur buatan Rusia pada masa hadapan atas alasan kos penyelenggaraan dan kecekapan ekonomi.
Juga dibangkitkan kemungkinan kebimbangan sekatan Amerika Syarikat pada masa hadapan jika berlaku konflik hubungan membabitkan Rusia.
Namun realitinya, Sukhoi Su-30MKM kekal sebagai tunjang utama pertahanan udara negara.
Dalam tempoh di mana aset lain berdepan kekangan jumlah dan usia, Sukhoi Su-30MKM berfungsi sebagai ‘force multiplier’ yang mengimbangi kekurangan sedia ada TUDM.
Prestasinya dalam operasi sebenar, latihan bersama serta demonstrasi antarabangsa membuktikan bahawa isu yang sering dibangkitkan tidak semestinya mencerminkan keberkesanan sebenar pesawat tersebut dalam konteks keperluan Malaysia.
Antara realiti dan persepsi, tidak keterlaluan jika kita katakan pesawat Sukhoi Su-30MKM ini telah menjadi ikon kebanggaan nasional.
Selain aspek teknikal, faktor emosi dan simbolik juga memainkan peranan besar.
Pesawat Sukhoi Su-30MKM menjadi tumpuan semasa lintas terbang Hari Kebangsaan, malah pernah tampil dengan aksi-aksi mendebarkan.
Sukhoi berjaya meningkatkan daya tarikan awam dan peminat penerbangan.
Di mata orang ramai, Sukhoi bukan sekadar pesawat tempur, tetapi lambang keupayaan negara mempertahankan ruang udara dengan aset berprestasi tinggi setaraf kuasa serantau.
Populariti pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM di luar negara bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.
Ia terhasil daripada gabungan keupayaan teknikal luar biasa, strategi pendedahan awam yang berkesan, keunikan varian, serta peranan strategiknya dalam pertahanan negara.
Walaupun perdebatan mengenai pemilihan pesawat tempur masa depan ATM akan terus berlangsung, satu hakikat sukar dinafikan adalah Sukhoi Su-30MKM telah berjaya mengukir reputasi tersendiri.
TUDM dan negara perlu berbangga sebagai pengendali antara pesawat tempur paling mengagumkan di Asia Tenggara, di udara juga di mata dunia.
Bayangkan sekiranya TUDM memilih menggunakan pesawat Sukhoi generasi ke-5 pada masa akan datang.
