Home Teknologi PertahananSaab bekal sistem peperangan elektronik kepada Airbus

Saab bekal sistem peperangan elektronik kepada Airbus

by M.Daim
A+A-
Reset

STOCKHOLM, 18 DIS – Saab menerima dua tempahan daripada Airbus Defence and Space bagi membekalkan sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare) Arexis untuk melengkapkan pesawat pejuang Eurofighter milik Tentera Udara Jerman. Nilai keseluruhan kontrak terbabit dianggarkan sekitar EUR 549 juta (RM 2.80 bilion, pada nilai tukaran EUR 1 kepada RM5.10)

Perolehan ini merupakan sebahagian daripada usaha Jerman meningkatkan keupayaan peperangan elektronik bagi armada Eurofighter, khususnya varian Eurofighter EK atau Elektronischer Kampf. Tempahan dijangka akan lengkap dalam tempoh penghantaran antara 2025 hingga 2028.

Tempahan pertama bernilai kira kira EUR 291 juta (RM 1.48 bilion) merupakan kesinambungan kontrak yang ditandatangani pada Mac 2024 antara Saab dan Airbus Defence and Space bagi integrasi sistem Arexis pada Eurofighter EK.

Sementara itu, tempahan kedua bernilai sekitar EUR 258 juta (RM 1.32 bilion) merangkumi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bersama rakan strategik Saab, Helsing. Walau bagaimanapun, kontrak tersebut masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab, Micael Johansson, berkata pemilihan Arexis oleh Jerman mencerminkan tahap keyakinan tinggi terhadap keupayaan sistem tersebut dalam persekitaran operasi moden.

“Kami berbangga dapat membekalkan Arexis kepada Tentera Udara Jerman, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara Sweden dan Jerman,

”Arexis merupakan antara sistem sensor digital penuh serta jamming paling maju di pasaran hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa sistem itu akan meningkatkan kesedaran situasi (situational awareness) serta kemandirian Eurofighter dalam medan pertempuran moden yang semakin kompleks.


Sistem EW Arexis telah terbukti dengan penggunaan pada siri jet pejuang Gripen yang dihasikan oleh SAAB. /Gambar: SAAB

Arexis ialah suite EW generasi terkini yang direka untuk memberikan keupayaan pertahanan dan ofensif secara menyeluruh. Sistem ini boleh diintegrasikan sepenuhnya pada pesawat, digunakan dalam bentuk pod misi, atau dijadikan muatan pada platform tanpa pemandu.

Menurut Saab, Arexis telah diuji serta dipilih untuk digunakan pada pesawat Gripen E dan Gripen F, sekali gus membuktikan kebolehpercayaannya pada pesawat pejuang generasi terkini. Reka bentuk modular dan perisian pintar membolehkan integrasi dilakukan dengan lebih pantas berbanding sistem peperangan elektronik konvensional.

Salah satu kelebihan utama Arexis ialah keupayaannya memberikan gambaran situasi menyeluruh melalui sistem amaran radar modular, bukan sahaja kepada juruterbang tetapi juga kepada rangkaian operasi yang lebih luas. Ini membolehkan pesawat membuat keputusan sama ada untuk meneruskan serangan atau membatalkan misi dalam persekitaran yang dipertikaikan.

Selain itu, keupayaan escort jamming Arexis membolehkan pesawat mengganggu dan memperdaya sistem pertahanan udara musuh, sekali gus mewujudkan kelebihan taktikal yang kritikal. Sistem ini turut menyokong operasi decoy dilancarkan dari udara bagi melindungi aset bernilai tinggi daripada pelbagai ancaman.

Dengan pangkalan pengguna yang semakin berkembang, Saab menyatakan bahawa kos naik taraf dan penyelenggaraan masa hadapan Arexis dijangka lebih rendah, sekali gus mengurangkan kos kitaran hayat sistem tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply